banner

Tuesday, August 7, 2012

Kisah Si Penjual Burger



Man berasal dari kampung di sebuah daerah di Johor(lokasi dirahsiakan). Selepas SPM dia tak sambung belajar macam kawan-kawan, berhijrah ke JB kerja kilang. Mula kerja gajinya sudah cecah seribu, kira lumayan juga. Dapat juga beli moto yang jadi idamannya sejak sekolah dulu. Biasalah kalau muda sebegitu, kalau tak ada moto kira tak sah.

Duduk rumah sewa 5-6 orang di JB sangat menyeronokkan bagi orang muda sepertinya. Setiap bulan gajinya habis selepas bayar moto, sewa rumah dan kasi ibu bapa di kampung. Tapi kekadang mis juga nak kasi mak kat kampung.

Kira-kira dua tahun kerja di kilang, rasakan dirinya terlalu enjoy. Awek yang jambu-jambu pun ramai di kilang tempat kerjanya. Ramai juga yang senang diajak keluar makan dan jalan-jalan naik moto walaupun taklah sampai buat maksiat. Man pulak kira hensem juga orangnya, cute gitu. Maka selepas 2 tahun kerja kilang, Man ambil keputusan berhenti kerja. Sebelum berhenti, Man fikir betul-betul selepas tanya kawan-kawan. Ramai yang menentang hasrat Man, kerana katanya kalau Man terus kerja kilang, nanti gajinya akan naik juga lama kelamaan. Yang penting Man kena sabar.

Man fikir, antara puncanya, kerja penat dan banyak tekanan. Duit pun kira tak ada simpan lansung, tiap bulan habis. Man pun ambil keputusan berhenti kerja dan nak jual burger di sebuah taman di JB. Ini satu tindakan berani Man. Dia ada juga pengalaman, masa sekolah kat kampung dulu ada juga tolong kawan dia jual burger malam-malam.

Bermodalkan tak sampai seribu, Man beranikan diri buka sebuah gerai burger berhampiran kilang yang lengkap dengan gerai steel, payung dan lain-lain. Kira lengkaplah sebagai gerai burger ala kadar. Bulan pertama berniaga ni, adalah sakit sikit berniaga, biasalah mula-mula ni, pelanggan belum kenal. Tapi bila masuk bulan kedua, ketiga dan seterusnya kira untung juga. Dia niaga dari jam 3.00 petang hingga maghrib setiap hari dan banyaklah masa dia berehat.

Man tak beritahu ibu bapanya yang dia dah berhenti kerja di JB tapi ibu dia syak juga. Kalau balik kampung, cuti dah tak berkira sangat. Dulu masa kerja kilang memang payah nak cuti, hari cuti pun buat o.t. Tapi mak ayahnya tak bertanya pulak.

Beberapa bulan kemudian, Man berpindah lokasi lain untuk berniaga. Kali ini di kawasan perumahan yang jadi tumpuan ramai. Jaraknya dengan tempat lama dalam 10 km juga. Sebelum berpindah ke situ, Man buat kajian juga. Man tengok, memang sudah ada 3-4 orang jual burger di situ tapi pembeli tetap ramai. Man cuba beli dan makan burger satu persatu dari 4 kedai tu.

 Bila Man rasa burger dia orang tu, kira Man rasa burger dia agaknya sama juga atau mungkin burger Man lagi sedap. Bukan Man nak mengata burger orang tu tak sedap, tapi Man ada rahsia tersendiri bagaimana nak buat burger sedap pada fikirannya. Yang ramai di situ pekerja kilang di apartment yang dijadikan asrama dan macam-macam kerja termasuk kakitangan kerajaan. Man bawanya gerai tempat lamanya ke situ, sewa lori kecil RM50.

Di tempat barunya dia menyewa RM 30 sebulan dari tuan kedai bersebelahan. Abang tauke kedai tu kira macam nak tolong jer tu. Kira itu bayaran untuk eletrik bagi sebuah lampu panjang yang ditarik ke gerainya. Di sini, dia berniaga dari jam 6.00 petang hingga 12.00 malam hampir setiap hari.

Perniagaan Makin Maju

Lama-kelamaan perniagaannya semakin maju dan mempunyai ramai pelanggan. Beberapa bulan di situ, pendapatannya jauh melebihi gajinya di kilang dulu dan lebih dari tempat niaga lamanya. Dia sudah mampu menyewa rumah bawah RM 500 sebulan berhampiran gerainya dan tinggal seorang diri. Rumahnya dijadikan tempat menyimpan barang keperluan dan ada sebuah peti sejuk beku yang mahal juga harganya.

Beberapa tahun berniaga, purata keuntungan harian adalah 200 sehari, bermakna 6000 sebulan. Dia mampu menggaji seorang pekerja lelaki lepasan sekolah dengan gaji RM30 sehari. Keuntungannya dari hari ke hari terus meningkat sehingga 400 sehari atau 12,000 sebulan terutama hari-hari gaji atau dapat bonus. Dia sudah mampu membeli sebuah van nissan terpakai untuk memudahkan pergerakan dan mengangkut barang ke gerai. Tak berapa lama kemudian, Man sendiri naikkan sendiri sewa dari RM30 sebulan kepada RM100 sebulan kepada abang kedai sebelah sebab Man tambah dua biji lampu lagi dan sebagai balas jasa abang tu.

Beli Kereta Waja Cash

Man sudah tidak segan silu lagi memberitahu ibu bapanya di kampung yang dia sudah tidak kerja kilang lagi, sebaliknya berniaga burger di JB. Suatu hari tu, ibunya terkejut kerana Man balik kampung bawa kereta baru Proton Waja yang dibeli secara tunai, bukan hutang tau.

Suatu hari ibunya minta dia balik kampung untuk kenduri arwah nenek. Rupanya malam tersebut, ibunya ada hajat lain iaitu untuk nak perkenalkan dengan jiran sekampung, anak perempuan kawan ibunya.

"Man belum bersedia mak untuk kahwin, Man rasa macam muda lagi". Kata Man.

Ibunya tak boleh cakap apa, hampalah juga maknya nak berbesan dengan kawan satu kumpulan yasin di kampung tu. Anak dara yang ditengok Man hari tu cantik orangnya dan kira standart muka artis juga gitu. Pandai masak dan menjahit, kira cukuplah nak jadi isteri ikut firasat ibunya.

 'Umur dah 27 kata masih muda'. Fikir ibu dia.

Kenapalah anak sulung dia ni begini. Tapi terfikir juga ibu dia, inilah anak-anak sekarang, bukan nak ikut jodoh yang mak ayah carikan. Dulu lainlah, mak ayah dia kawin bercinta lepas berkahwin, pun bahagia juga. Yer, Tapi budak sekarang, semua nak cari sendiri.

Di kampung, Man rasa rimas, rasa nak balik cepat je ke JB. Nampak sangat gelisah. Ada sesuatu yang Man fikirkan. Dalam hati dia berkata,

"Kalau tahulah mak nak jodohkan dengan anak kawan mak, lebih baik tak balik kampung hari tu". Bisik hati Man.

Rupanya Man ada menyimpan hati pada seorang anak dara lain yang selalu beli burger di gerainya  di JB. Bermula dari situ, hatinya terus tertawan dengan keayuan gadis itu. Biasa datang beli dah dekat maghrib naik kereta, Man pasti sikat rambut sebelum maghrib untuk tunggu gadis itu datang, hampir setiap hari juga. Di situlah cintanya berputik.

Nak mengorat ni, Man bukannya pandai, masa sekolah dulu asyik tak ada makwe jer. Nak ngorat awek sikit, dah kena kebas dengan lelaki lain yang pandai ayat. Man ayat apa yang  pandai, ayat merapu dia pandailah.

Tapi sekarang dalam usia 27 tahun, Man sudah lain, bukan zaman sekolah lagi. Tapi macammana yer, nak dijadikan makwe dia boleh ker ?  Man tak berani nak cakap, cuma Man peramah masa  gadis itu datang beli burger dengan kereta Proton Satria merahnya.

"Hai.. apa kabar hari ni?" Man.

"Khabar baik. Kasi burger macam biasa satu yer ". Gadis tu.

Buat burger buat burger juga, tapi Man asyik menjeling je pada gadis tu. Bila perasan Man selalu pandang, gadis tu tersenyum, menyerlahkan keayuannya. Man macam tak pandai nak goda-goda perempuan ni. Sampai Man nak tanya nama pun tak berani, apa lagi nak kenal lanjut.  Lagi pun, masa gadis tu datang, biasanya ada orang lain juga datang nak beli. Bertambah-tambahlah malunya Man. Tapi Man rasa sesuatu juga.

Hampir setiap hari juga gadis ni datang beli burger. Jadi kalau sehari gadis tu tak datang, tidur Man memang tak lena. Mula rasa cemburu kalau-kalau gadis ni dah pindah pergi beli burger lain. Tapi rupanya tidak, kalau gadis tu keluar ke kedai, pasti tak ketinggalan beli burgernya. Man pun rasa, gadis ni bukan setakat sukakan burgernya, tapi mungkin juga sukakannya hehehe.... Masalahnya bagaimana yer nak mulakan ? Susah tu...

No comments:

Post a Comment