banner

Tuesday, August 7, 2012

Kisah Penjual Burger 61



Syira salam dan cium tangan  Man. Tak terkeluar pula dari mulutnya untuk tanya pasal abangnya yang pakai baju Melayu tu.

"Nizar, salam dengan abang Man". Kata Syira bila lihat Nizar baring saja dan tak bersalam pun dengan Man. Nizar bangun, salam dan cium tangan abang Man.

"Semua dah makan kenyang ker tadi ?". Tanya Man.

"Dah, semua dah makan, Aboi yang hantar nasi ayam tadi". Jawab Syira.

Man duduk di meja makan mengadap Syira manakala Nizar baring mengadap tv berhampiran meja makan itu.

"Ermm... bila keputusan masuk universiti ?" Tanya Man yang sememangnya prihatin dengan pelajaran dan masa depan adiknya.

Sekali lagi terencat untuk Syira tanya kenapa Man pakai baju Melayu, tadi rasa macam nak tanya.

"Mungkin dalam dua bulan lagi dapat jawapan". Jawab Syira ringkas.

"Syira, Nizar... Abang harapkan kejayaan kau berdua...Teruskan belajar sebab ilmu, sijil dan ijazah itu sangat berguna dalam hidup. Jangan hidup macam abang yang tak ada apa-apa kelulusan ini.." Kata Man.

Cerita pasal suruh adik-adik belajar macam Man cakap hari ini bukan hari ini saja dengar, tapi dah berpuluh kali. Syira menumpukan sepenuh perhatian kepada apa yang abangnya katakan. Dari yang Syira lihat, ada sesuatu yang mungkin abangnya nak katakan. Nizar pula mula memasang telinga walaupun masih baring sambil memperlahankan suara tv.

"Abang dulu belajar bukan tak pandai. Kawan-kawan abang semua sambung belajar dan sekarang ramai dah kerja baik-baik lepas keluar universiti, maktab dan politeknik. Tapi abang....". Kata Man, dan suaranya mula tersekat dan bertukar nada kepada sedih.

Syira turut sedih dan mula mengeluarkan air mata sambil mengesat dengan tangan. Pada Man, inilah peluang dia bercerita pada adik-adiknya. Kalau di kampung, susah nak cerita sebegini sebab mak dan ayahnya ada.

"Abang rasa bersalah pada mak dan abah sebab menghampakan harapan nak tengok Man masuk universiti. Tapi abang masa tu terlalu bersimpati dengan mak, kita orang susah masa tu, bukan orang senang....... Sampai yuran sekolah dan yuran perperiksaan SPM, Man tak bayar sebab tak ada duit. Man hampir tak dapat ambil periksa dan Man bercadang nak berhenti sekolah masa tingkatan lima tu sebab malu dengan cikgu dan kawan-kawan...." Cerita Man, Syira terdiam dan terus menangis.

"Abah dan mak marah abang, cikgu pun marah abang bila tahu abang nak berhenti sekolah. Mak sudah gadaikan barang kemas peninggalan arwah nenek pada kedai pajak gadai untuk bayar yuran sekolah dan yuran SPM...... Paling menyedihkan, seminggu sebelum SPM, barang kemas tu dirampas terus oleh kedai pajak gadai  sebab mak tak berjaya tebuskan. Mak terpaksa bergaduh dengan makcik-makcik bila tahu barang kemas itu adalah pusaka peninggalan nenak. Abang sangat sedih sehingga menjejaskan periksa SPM abang waktu itu. Abang jawab periksa tak sepenuh hati, sebab... tak tahulah nak kata macam mana. Mungkin abang fikir, kalau abang dapat tinggi nanti, abang tak sanggup melihat mak ayah terus berhutang lagi masa tu, supaya abang terus belajar...." Cerita Man lagi.

"Syira, Nizar....Abang sedih tengok kau berdua waktu tu yang masih bersekolah. Kau berdua pakaian pun ada sehelai saja, seminggu tak tukar. Dah tu, adik-adik kita yang masih kecil, semuanya perlukan wang ringgit. Betul, abang sampai sekarang masih ada cita-cita nak masuk universiti. Abang rasa nak tebus semua dosa-dosa abang pada semua. Dulu mak dan abah marah bila keputusan SPM abang tak berapa tinggi. Mak dah berkorban menggadaikan barang kemas kesayangannya untuk lihat Man berjaya, tapi Man, mungkin Man silap......"

Syira terus mengeluarkan air mata dengan derasnya. Cerita ini sungguh sedih melibatkan keluarganya.
"Man.... Man tak mahu tengok mak ayah bersusah payah kalau Man sambung belajar lagi, cukuplah. Man ke JB kerja kilang lepas tu jual burger nak bantu adik-adik. Alhamdulillah, Syira dan Nizar berjaya dengan cemerlang. Pesan Man, jangan lupa dengan mak ayah kalau dah senang. Kekadang kalau kita dah senang kita lupa asal usul kita, jangan....". Kata Man.

Syira terus menagis, kini semakin kuat dan teresak-esak. Nizar sedih juga tapi dia berjaya menahan air matanya. Man meneruskan kata-katanya.

"Sekarang Man terfikir, kalau Man ada sijil, diploma atau ijazah, Man tidak akan jadi penjual burger macam sekarang. Man dulu bercita-cita nak jadi cikgu sekolah, tapi tidak kesampaian. Yer... kalau Man jadi cikgu sekarang, orang tak akan pandang hina pada abang. Sudah nasibku jadi Mat Burger...." Kata Man lagi.

Syira mengesat-ngesat air mata dan mula mengeluarkan kata-kata dalam keadaan masih teresak-esak itu.

"Tidak abang... tidak. Kita jangan membelakangkan takdir dan ketentuan Allah Taala, tidak abang, tidak...". Kata Syira, kemudian dia terdiam seketika menahan sebak.

"Abang tak membelakangkan takdir. Abang tahu itu qada dan qadar Allah Taala. Cuma abang nak pesan pada adik abang terutama Syira dan Nizar, supaya jadilah anak yang baik. Balas jasa ibu bapa dengan kejayaan dalam pelajaran. Abang dah gagal tapi abang tak mahu adik-adik ikut jejak kegagalan seperti yang abang lalui...." Kata Man. Syira menggangguk-nganguk dan air matanya semakin deras.

" Dan ada suatu yang Man nak pesankan pada semua, harap Syira, Nizar, mak dan ayah setuju dengan keputusan Man ini....". Kata Man dengan nada sayu.

Syira terkejut dan kemudian panggil Nizar untuk sama duduk di kerusi meja makan itu. Sudah tentu ada suatu yang penting Man nak beritahu adik-adiknya. Tapi Man tunduk saja, perkataannya terhenti di situ seolah-olah mahu berfikir, adakah sesuai atau tidak apa yang nak dicakapkan.

"Pesanan apa abang Man ?...cakaplah, cakap abang Man". Kata Syira seperti mendesak.

"Tidak Syira, maafkan abang. Belum masanya abang ceritakan semuanya, nantilah, nanti". Kata Man.

Syira seperti tak puas hati dan terus mendesak sambil menangis.

"Kenapa abang ? Kenapa dengan Syira abang nak berahsia, kenapa ? Apa yang penting itu abang, cakaplah, cakap abang, cakappp"  Desak Syira.

"Tak ada apa-apa Syira. Jangan risau, abang tak apa-apa". Kata Man.

Perbualan mereka terhenti apabila azan berkumandang dan selepas Maghrib Man terus keluar. Katanya nak ke gerai burger tapi Man pakai baju kemeja lengan pendek dan baju masuk dalam serta pakai minyak wangi.

"Nizar, kau rasa abang Man pergi ke gerai burger ker tak ? Kakak macam ada hairan sikit" Tanya Syira pada Nizar bila Man dah keluar.

"Tak adalah, kalau ke gerai mesti pakai tshirt saja". Kata Nizar.

"Dah tu, kau agak abang Man pergi mana ?" Tanya Syira lagi.

"Biasanya kalau pakaian macam tu, abang  Man jumpa Cikgu Syikin". Kata Nizar.

Terkejut besar Syira dengan jawapan Nizar itu tapi pada Syira, Nizar bukan suka cakap tipu-tipu.

"Cikgu Syikin ?" Sergah Syira.

"Kenapa kau sebut nama Cikgu Syikin. Kau tahu tak Nizar, akak dengar nama tu pun dah naik menyampah tau. Yang kau sebut nama cikgu Syikin tu apasal ?" Kata Syira.

"Takder kak, Nizar teka saja. Dulu masa sebulan lebih Nizar kat sini, kalau hari Jumaat, Sabtu, Ahad, biasa abang keluar dengan Cikgu Syikin. Pakaian pun kemas. Gerai burger tu, Aboi dan Nizar yang tunggu". Kata Nizar.

Syira malas nak layan cakap Nizar lagi, kalau dilayan lama-lama, makin sakit hati dibuatnya. Ke mana Man pergi ? Satu lagi, yang tadi Man pakai baju Melayu kenapa ? Semuanya belum terjawab lagi. Dan yang paling menggemparkan, apa yang Man nak perkatakan yang dikatakan sangat penting itu. Syira tahu, dah pasti ada sesuatu cuma tak mahu diceritakan saja. Tiba-tiba Yanti telefon Syira.

"Syira, nak jumpa kat mana ? Kakak program sampai pukul 9, lepas tu kakak ke sana". Yanti telefon.

"Erggg.. kak, kita jumpa di Angsana dalam 9.30. Nanti Syira dan Nizar akan ke sana, Angsana bukak sampai jam 12.00 malam hari ni". Kata Syira.

Yer, Syira akan jumpa Yanti di Angsana sebentar lagi. Tapi fikiran Syira masih kusut, banyak persoalan yang masih belum terjawab.

.....BERSAMBUNG KE EPISOD 62

1 comment:

  1. Bila nak update story pasal Kisah penjual Burger?...dah lama tunggu nih.....

    ReplyDelete