Thursday, August 23, 2012
Realiti 13 Mei
"Ketika orang ramai masih berhimpun untuk perbarisan tersebut, pergaduhan berlaku di Kampung Baru berhampiran, di mana dua lori orang Cina telah dibakar.
"Pada jam 7.15 petang, saya dapat lihat satu gerombolan berkumpul seperti lebah di persimpangan Jalan Raja Muda dan Batu Road. Lebih banyak kenderaan dipecahkan dan rumah ked
ai orang Cina dibakar.
"Pekedai Cina dan India di Batu Road telah bergabung membentuk satu 'pasukan pertahanan kawasan' dengan bersenjatakan apa sahaja yang sempat dicapai - parang, kayu, batang besi dan botol...
"Apabila kumpulan orang Melayu beredar, maka penduduk terbabit terus tertindak balas. Bahagian depan kedai dan kereta yang disyaki milik orang Melayu telah dipecahkan atau dibakar...
"Polis tiba kira-kira jam 9 malam tetapi tidak berkawal di situ. Kemudian, trak yang membawa anggota Unit Simpanan Persekutuan (pasukan pencegah rusuhan) dan Regimen Askar Melayu beredar dari situ..."
(Petikan daripada catatan wartawan Far Eastern Economic Review, Bob Reece, mengenai apa yang disaksikan dengan matanya sendiri berlaku pada 13 Mei 1969 selepas sekumpulan pemuda Melayu berkumpul di luar rumah Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris lewat petang hari berkenaan).
Sudah hampir empat dekad berlalu selepas tercetusnya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969
Bagaimanapun, apakah yang mencetuskan rusuhan paling buruk dalam sejarah 50 tahun Malaysia, yang mengorbankan 196 nyawa (mengikut rekod rasmi), masih menjadi rahsia, dan sehingga ini terdapat pelbagai versi mengenainya.
'Versi rasmi' menyebut rusuhan tersebut berpunca daripada tindakan provokasi penyokong pembangkang yang didominasi kaum Cina, yang merayakan kejayaan mereka dalam pilihanraya umum yang menyaksikan Parti Perikatan kalah teruk.
《Semuanya karut》
Bagaimanapun, pihak pembangkang telah menyangkal kebenaran versi tersebut. Terdapat teori-teori lain yang mendakwa rusuhan itu telah dirancang untuk menggulingkan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman.
Kekurangan maklumat awam mengenainya menjadi batu penghalang bagi mereka yang ingin mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku. Tetapi satu set dokumen yang baru dideklasifikasikan di London, telah membuka peluang kepada ahli sosiologi, Dr Kua Kia Soong untuk mencari kebenarannya.
Pada akhir tahun lalu, Pengetua Kolej New Era itu telah mengambil cuti belajar selama tiga bulan untuk meneliti rekod dan dokumen di Pejabat Rekod Awam di London mengenai tragedi 13 Mei yang telah dideklasifikasikan selepas luputnya tempoh 30 tahun dokumen berkenaan dideklasifikasi sebagai rahsia.
Hasil kajiannya ke atas dokumen yang dideklafisikasikan itu - yang telah dikompilasikan dalam buku terbaru Dr Kua yang akan dilancarkan Ahad ini - mendapati rusuhan 13 Mei itu bukanlah berpunca daripada keganasan kaum, sepertimana yang telah digambar kepada rakyat Malaysia.
"Sejarah (rasmi peristiwa) 13 Mei penuh dengan karut-marut, ia tidak mendedahkan apa-apa. Ia meletakkan kesalahan itu ke atas parti pembangkang yang sebenarnya tidak benar, mereka bukan menjadi puncanya," kata Dr Kua kepada malaysiakini dalam satu temubual baru-baru ini.
"Buku saya itu menunjukkan bahawa pihak yang bertanggungjawab adalah golongan kapitalis (dalam Umno), elemen-elemen dalaman yang merancang dan melaksanakan pelan ini. Ada rancangannya berdasarkan kepada mereka yang berkumpul di kediaman menteri besar (Selangor).
"Terdapat dokumen dan laporan risikan yang menunjukkan perkara itu. Sejarah rasmi perlu mendedahkan kebenaran dan bukannya meletakkan kesalahan kepada setiap orang yang sepatutnya tidak harus dipersalahkan," kata aktivis sosial dan pendidikan itu.
Dr Kua menegaskan bahawa peristiwa 13 Mei merupakan satu 'coup d'etat' atau rampasan kuasa terhadap Tunku oleh golongan kapitalis Melayu yang muncul ketika itu - yang disokong oleh polis dan tentera - untuk merampas kuasa daripada aristokrat lama untuk melaksanakan agenda baru Melayu.
《Plot menumbangkan Tunku》
Beliau berpendapat, rusuhan itu adalah perbuatan 'samseng Melayu' yang disokong oleh ahli-ahli politik di belakang rancangan rampasan kuasa tersebut.
Sebagai contohnya, kata beliau, "sekumpulan samseng tiba-tiba muncul dari semua penjuru" pada 13 Mei untuk berkumpul di kediaman Datuk Harun dan tindak-tanduk polis dan tentera yang boleh dipersoalkan yang hanya berdiri dan memerhatikan sahaja apa yang sedang berlaku.
Tambahnya, dokumen-dokumen itu juga menunjukkan, kurang daripada seminggu selepas rusuhan tersebut, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak, yang mempengerusikan Majlis Operasi Negara, diberikuasa penuh untuk mentadbir negara - satu petanda wujudnya komplot mengenainya.
Manakala perbincangan mengenai perancangan masa depan telahpun dijalankan sebelumnya, termasuk Dasar Kebudayaan Negara (diumumkan pada 1971).
Satu dokumen rahsia dari pejabat kabinet Britain yang dimuat dalam buku tersebut, menunjukkan, tidak sampai seminggu selepas rusuhan itu berlaku, Agensi Perisikan Pusat (CIA) dapat mengesan apa yang sedang dirancang oleh Tun Razak - 'untuk memperkukuhkan ketuanan Melayu, meminggirkan kaum Cina dan mengenepikan Tunku'.
Dr Kua turut mempersoalkan peranan anggota pasukan keselamatan dalam peristiwa berdarah 13 Mei itu.
"Malah, ketika itu, kalangan diplomatik (juga bertanya-tanya) mengapakah, pada hari rusuhan itu berlaku, Razak bertemu dengan pegawai tertinggi polis dan tentera, tetapi mereka tidak berbuat apa-apa," katanya.
Lebih menarik lagi, kata Dr Kua, pasukan keselamatan Malaysia adalah sebuah
pasukan yang berpengalaman luas sewaktu melancarkan peperangan terhadap pengganas komunis antara tahun 1948 dan 1960 dan bereputasi tinggi.
"Merekalah yang berjaya menghapuskan penentangan komunis yang
membabitkan operasi yang lebih sukar daripada mengawal rusuhan, tetapi mereka tidak dapat mengawal (rusuhan) pada 1969 selama berhari-hari, berminggu-minggu," soalnya.
Ekoran itu, Dr Kua membuat kesimpulan: "Peristiwa 13 Mei adalah satu helah untuk merampas kuasa...saya bukanlah orang pertama yang berkata bahawa ia adalah satu rampasan kuasa, tetapi saya menyediakan dokumen yang menunjukkan bahawa ia adalah satu rampasan kuasa."
《Jumlah korban tidak diketahui》
Dokumen yang telah dideklafisikasikan itu termasuk laporan-laporan yang dibuat oleh wartawan asing yang berada di Kuala Lumpur pada masa itu, laporan kakitangan Pesuruhjaya Tinggi British yang memantau insiden tersebut dan pelbagai lagi laporan sulit dari kalangan diplomat.
Ini dianggap pertamakalinya satu catatan lengkap mengenai tragedi tersebut akan dapat ditatapi rakyat Malaysia, kerana banyak laporan wartawan asing telah diharamkan di samping tiada akses terhadap dokumen tempatan.
Bagaimanapun, apa yang tidak dapat dipastikan dalam buku tersebut adalah satu lagi rahsia, iaitu jumlah sebenar korban tragedi tersebut.
Angka rasmi korban rusuhan 13 Mei adalah 196 orang, 180 cedera akibat senjatapi dan 259 lagi cedera kerana senjata lain, 9,143 orang ditangkap dan 5,561 daripadanya didakwa di mahkamah, 6,000 kehilangan tempat tinggal, dan sekurang-kurangnya 211 kenderaan dan 753 bangunan telah musnah atau mengalami kerosakan.
Dokumen yang telah dideklasifikasikan dan dokumen antarabangsa yang lain pada masa itu menganggarkan jumlah korban yang lebih tinggi tetapi angka sebenarnya tidak diketahui, tetapi majoriti korban tersebut dikatakan dari kalangan orang Cina.
Dr Kua berkata, beliau berharap dapat memecahkan mitos tersebut melalui penerbitan bukunya.
"Iaitu rusuhan kaum akan berlaku bila orang Melayu tidak merasa senang, itulah sebabkan mengapa kita perlukan Dasar Ekonomi Baru, polisi tindakan afirmatif dan yang lain-lainnya, jika tidak orang Melayu tidak merasa senang dan rusuhan akan tercetus.
"Ini adalah mitos pertama yang kita perlu uraikan kerana dokumen-dokumen menunjukkan sesetengah mereka yang mencetuskannya (tragedi 13 Mei) bersubahat dengan pihak polis dan tentera," katanya.
Mitos kedua, kata Dr Kua, ahli akademik dan ahli teori majmuk yang memegang pandangan bahawa rusuhan akan berlaku secara semulajadi dalam negara yang rakyatnya terdiri dari berbilang kaum.
Sebaliknya, kata beliau, orang Melayu, Cina dan India tidak secara tiba-tiba mengambil keputusan untuk bergaduh sesame mereka.
"Ia tidak berlaku macam itu," tambahnya.
Ditanya sama ada beliau bimbang pihak berkuasa akan bertindak mengharamkan bukunya itu sepertimana yang berlaku kepada buku mengenai pergaduhan di Kampung Medan, Dr Kua berkata: "Dalam zaman internet, apa maknanya apabila sesebuah buku itu diharamkan? Kita boleh siarkannya di lamanweb, anda boleh buat apa saja".
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment