banner

Tuesday, August 7, 2012

Kisah Penjual Burger 14


Yanti rasa tak selesa sebab minum di luar waktu kerja walaupun semangat dia kerja hari tu dah hilang. Yanti ajak Man balik dan Yanti nak ke pejabat semula. Dalam kereta, perbualan mereka masih hangat.

"Man. Man kenal ke siapa yang pukul Man semalam ?" Tanya Yanti.

"Tak kenal. Siapa mereka tu ? Kenapa mereka marah Man berkawan dengan Yanti. Betul ke mereka dari keluarga Yanti ?". Kata Man.

Yanti serba salah untuk jawab soalan tu. Yanti dapat teka yang buat tu mungkin abangnya Fuad dan kawan-kawannya. Yanti tahu, abangnya itu ramai kawan dengan samseng-samseng. Di Selangor dulu pernah Yanti tahu abangnya itu ada masuk satu kumpulan yang suka gaduh dan peras ugut. Abangnya itu ada perniagaan di pasar ikan di sana dan Yanti rasa kumpulan ini untuk jaga kepentingan perniagaan abangnya.

Bagaimanapun, abangnya profesional dalam buat kerja ni. Lagipun, abangnya ini banyak bisnes termasuk hartanah, pelaburan dan lain-lain yang Yanti sendiri tak tahu sangat. Sekali pun abangnya itu tak pernah rasa takut termasuk kepada pihak polis. Mungkin sebab, kawan-kawan abangnya yang ke depan dalam buat kerja ni, abangnya cuma beri arahan saja kepada orang bawah.

"Tak tahulah Yanti siapa yang pukul Man. Tapi Man jangan cepat mengalah, Yanti sanggup bersama Man. Kesakitan yang Man alami, Yanti juga terasa pedihnya". Kata Yanti seolah-olah tidak mahu mengaitkan keluarganya dalam kes ini.

"Betullah Yanti. Tapi yang kena pukulnya Man. Yang kena ugutnya Man. Kalau bila-bila masa Man kena bunuh, Yanti nak tolong apa ?". Kata Man.

"Man. Kenapa Man tak buat laporan polis ? Sekurang-kurang polis buat buat rondaan untuk jaga keselamatan Man". Kata Yanti.

"Ronda untuk keselamatan Man ? Haha haha... ingat Man ni orang kenamaan ker polis nak ronda untuk jaga Man ? Takkanlah polis nak jaga mat burger macam Man ni" Kata Man macam perli.

"Bukan gitu Man. Kalau kita tak report, macammana polis nak bantu kita. Takkan Man nak biar diri Man terus dalam ketakutan begini ". Kata Yanti.

"Yanti. Man kena fikir dulu sebab ini masa depan Man. Kalau report, belum tentu keselamatan Man akan terjamin. Mungkin mereka lebih berkasar lagi pada Man. Cukuplah apa yang berlaku semalam pada Man. Alhamdulillah, Man tak cedera teruk. Man sanggup hadapi semua ini, sebagai bukti cinta Man pada Yanti". Kata Man dengan nada sedih.

Bila Man sebut 'sebagai bukti cinta Man pada Yanti', Yanti terdiam dan hilang tumpuan memandu. Yanti menangis kesedihan.

"Man.. maafkan Yanti. Maafkan keluarga Yanti....Kerana Yanti, Man jadi begini...." Kata Yanti sambil menangis dan memandu semakin perlahan.

Melihat Yanti menangis sambil memandu, Man tidak mahu berkata apa-apa lagi. Man bimbang kerana boleh memerbahayakan diri. Lepas hantar Man ke rumah, Yanti ke pejabat semula. Jam dah menunjukkan 12.00 tengahari.

Yanti duduk seorang diri dalam biliknya. Orang lain sudah nampak reaksi berbeza Yanti hari itu. Dari seorang pegawai yang ceria sudah bertukar jadi pendiam dan serius. Melihat keadaan itu, dua orang rakan sekerjanya masuk ke bilik Yanti. Tasim, ketua kerani yang dan umur 55 tahun lebih. Seorang lagi Azhar, pegawai sama Yanti yang berusia 30-an.

"Assalamualaikum Yanti. Boleh kami masuk ?". Tasim dan Azhar ketuk pintu Yanti.

"Yer. Silakan " Kata Yanti. Mereka berdua duduk di kerusi depan meja Yanti. Azhar memulakan bicara.

"Yanti. Bersabarlah Yanti. Kami semua sedih kerana kehilangan seorang pegawai yang baik dan cemerlang di pejabat ini. Tapi ini semua arahan, kami perlu akur, Yanti". Kata Azhar.

"Yer. Apa nak buat, Yanti orang bawah. Orang baru pulak tu, ikut sajalah". Kata Yanti sambil tangannya menyelak beberapa helai kertas di atas meja. Nada percakapan Yanti seolah-olah dia kuat semangat dan akur dengan pertukaran itu.

"Kalau ada apa-apa masalah, kami berdua sedia bantu Yanti. Jangan segan-segan untuk minta tolong kami" Kata Tasim.

"Terima kasih". Jawab Yanti ringkas.

"Dalam bekerja ini memang banyak perubahan dan pertukaran yang kita semua kena rasa. Kalau ikut sejarah kerja saya, sudah hampir 16 daerah saya pernah ditukarkan sebelum pindah ke Johor Bahru ni, termasuklah Sabah dan Sarawak. Kalau nak fikir susah, memanglah susah. Lebih lagi ada anak isteri yang bersekolah dan bekerja, memang banyak  masalah. Tapi semua itu mematangkan kita untuk terus berkhidmat dengan cemerlang... Yanti, semua ini adalah ketentuan Allah Taala, kita perlu tabah menghadapinya." Kata Tasim dengan nada mengharap. Yanti memang menghormati Tasim sebagai senior di pejabat yang banyak membantunya selama ini.

Sedang mereka berbual, telefon Yanti berbunyi, panggilan dari kakaknya Azizah. Beberapa kali panggilan Yanti tak jawab. Melihat Yanti dalam keadaan begitu, Tasim dan Azhar minta diri untuk keluar dari bilik Yanti. Sebelum keluar, Yanti sempat berkata.

"Terima kasih kerana memahami perasan Yanti." Kata Yanti.

Beberapa minit kemudian, kakaknya telefon lagi. Yanti menutup dan mengunci pintu bilik dan manjawab panggilan itu.

"Helo Yanti, sihat ker ? Ada apa-apa berita ?" tanya kakaknya.

"Tak apa kak, biasa saja". Kata Yanti.

"Yanti, betul ke Yanti kena pindah ke Kuala Lumpur ?" tanya kakaknya.

"Kuala Lumpur ? Siapa yang cerita ? Kakak tahu dari mana ?" tanya Yanti.

"Ada orang beritahu kakak tadi". Kata kakaknya.

"Siapa yang beritahu kakak ? Siapa ? Bagaimana kakak boleh tahu semua ni ?" Kata Yanti.

"Bertenang Yanti, kakak nak tolong Yanti. Kalau Yanti ada masalah, beritahu kakak. Mana tahu, nak mintak tolong angkat barang ker ...". Kata kakaknya.

"Kak.. Yanti tak mahu menyusahkan sesiapa lagi, cukuplah Yanti menyusahkan keluarga selama ini". Kata Yanti.

"Apa maksud kau Yanti, kakak cuma nak bantu". Kata kakaknya.

"Kak... Dah puas hati abang-abang dan kakak dapat pisahkan Yanti dengan peniaga burger tu ?" Kata Yanti.

"Apa yang kau katakan ini Yanti, kenapa beranggapan begitu". Kata kakaknya.

"Yer... Yanti bukan lagi budak-budak mentah, Yanti dan besar dan boleh fikir sendiri". Kata Yanti. Kakaknya terdiam seketika.

"Kak...kenapa abang Fuad sanggup upah samseng belasah Man burger tu ? Apa dosa dan kesalahan Man tu ? Kenapa tak pukul Yanti saja, pukullah !" Kata Yanti dengan suara yang tinggi.

"Rilek Yanti..kakak tak tahu cerita pukul-pukul ni. Nanti kakak tanya abang Fuad". Kata kakaknya.

"Tak mengapalah kakak, semuanya dah berlaku. Cukuplah kakak. Beritahu abang Fuad, mulai hari ni jangan kisah lagi pasal Yanti. Yanti tak mahu dikongkong lagi". Kata Yanti.

Yanti tengahari tu jumpa Tasim dan beritahu dia nak berehat di rumah kerana kurang sihat. Tasim memahaminya dan membenarkan Yanti tidak naik pejabat pada sebelah petang. Dalam perjalanan balik ke rumah, di dalam kereta yanti mendapat panggilan telefon dari abang keduanya Fuad. Dalam tiga kali dail, Yanti sengaja tak jawab. Jantung Yanti berdebar-debar mendengar deringan telefonnya.

Kemudian, abangnya itu hantar sms dan Yanti baca bila sampai saja di rumahnya.

"Jangan buat tuduhan sebarangan." Sms dari abangnya Fuad.

Kemudian ada satu lagi sms yang diterima bila Yanti masuk rumah.

"Beritahu mat burger tu, jangan besar kepala. Dah lama hidup ker!". Sms kedua abangnya.

Yanti menangis teresak-esak dalam bilik. Hari ini, hari yang penuh ujian dan cabaran dalam hidup Yanti. Sekali fikir, ini semua adalah pilihan Yanti, Yanti yang pilih Man burger, sebab itu jadi begini. Sudah dari awal Yanti sudah agak, penerimaan dan reaksi ibu bapa dan adik beradiknya. Kenapalah Man burger yang jadi pilihan Yanti ?

No comments:

Post a Comment