banner

Tuesday, August 7, 2012

Kisah Penjual Burger 12


Man memerhatikan dari dalam kereta, apa yang berlaku. Man renung dengan teliti, kenapa jiran-jirannya mengerumuni rumahnya. Apakah yang berlaku sebenarnya. Mulanya Man takut nak keluar tapi bila Man rasa tidak ada apa yang dirisaukan, Man keluar dan menuju ke pintu pagar rumahnya. Man dapati, pagar rumah disimbah dengan cat merah. Kemudian Man dapati kereta wajanya turut disimbah cat merah di bahagian bonek belakang. Man terus jadi panik, Man duduk mencangkung mengadap keretanya sambil kedua tangannya memegang kepala.

Man ditenangkan oleh jiran sebelahnya, Hj Ali yang merupakan orang paling awal menyedari kejadian ini. Waktu Hj Ali di dalam rumah tadi, dia dengar bunyi seolah-olah satu dentuman. Bila dia keluar, dilihatnya sebiji motosikal dinaiki 2 lelaki terus meningggalkan tempat itu. Mungkin 2 orang itu menyedari yang Hj Ali bergegas keluar, menyebabkan lelaki itu segera melarikan diri. Bagaimanapun, nombor monosikal itu tak sempat diambil. Hj Ali sedar, dentuman itu adalah bunyi tin cat sederhana besar yang kena pada bonek kereta Man yang berada dalam pagar tu.

Man terus memerhatikan kereta kesayangannya, didapati ada juga kesan kemik terkena tin cat.

"Man. Lepas Maghrib nanti ikut pakcik pergi balai polis, kita buat report". Kata Hj Ali.
Man terdiam dan mengeleng-ngelengkan kepalanya. Man masih panik dengan dua kejadian itu. Selepas dibelasah teruk tadi, rumahnya disimbah cat pula.

"Tak apa pakcik. Saya rasa tak ada apa-apa. Kecil saja ni". Kata Man.

"Tak boleh macam tu Man. Nanti kalau berlaku lagi sekali, lagi susah. Sebagai AJK penduduk taman ni, pakcik rasa kita kena bertindak. Jangan kita senyap jer. Bagaimana kalau rumah lain pula kena" Desak Hj Ali.

Man makin serba salah. Desakan jirannya itu merupakan satu tekanan pada Man. Jirannya itu tak tahu apa yang sebenarnya berlaku pada dirinya sampai berlaku perkara begitu. Melihat reaksi Man yang enggan buat report, Hj Ali tak dapat buat apa. Dalam hati Hj Ali seolah-olah tak puas hati pada Man. Mana tidak, Hj Ali adalah saksi utama kejadian ni dan orang kuat persatuan penduduk taman tu.
Malam itu Man ajak Aboi temankannya di rumah, Man berada dalam ketakutan. Man tak keluar rumah, Aboi yang tolong belikan makanan nasi bungkus.

Aboi baru berusia 19 tahun, rumahnya di taman itu juga, rumah kos rendah. Lepas SPM, Aboi tak sambung belajar walaupun dapat keputusan yang baik. Ayah Aboi dah meninggal dunia dan ibu Aboi kerja sebagai tukang cuci di sekolah berhampiran rumahnya. Kerana memikirkan masalah kewangan, Aboi tolak tawaran belajar lepas SPM sebab nak bantu ibunya. Sebagai anak sulung, Aboi mahu 4 orang adik-adiknya berjaya dalam pelajaran hingga berjaya ke universiti.

Sejak bekerja dengan Man hampir setahun lalu telah merubah hidup Aboi. Aboi mula kenal Man masa Aboi kerja di sebuah kedai mamak kat taman tu. Tujuh bulan kerja kedai mamak, Aboi berhenti bila ditawarkan kerja oleh Man. Kebetulan masa tu, seorang pekerja Man berhenti sebab menyambung pelajaran. Sekarang gaji Aboi dikira cukup lumayan iaitu RM 50 sehari atau kekadang RM 70 sehari kalau jualan lebih. Aboi anggap Man macam abang sendiri. Dia kenal hati budi Man.

Aboi juga tahu yang Man sedang hangat bercinta di angin lalu dengan Yanti. Kejadian yang berlaku hati ini, Aboi rasa-rasa ada kaitannya dengan keluarga Yanti walaupun Man tak cerita. Sebelum ni Aboi pernah dengar perbualan telefon antara Man dan Yanti di gerai burger. Dari situlah Aboi tahu yang keluarga Yanti menentang. Aboi pandai simpan rahsia, bila Yanti datang beli burger, Aboi tak tunjukkan reaksi yang Man sedang bercinta dengan Yanti.

Nasi ayam bungkus yang Aboi beli, Man tak lalu makan. Mana taknyer, mulut dan bibir Man pecah sebelah kanan akibat tumbukan 'samseng' tadi. Man tinggalkan nasi ayam tadi pada Aboi untuk habiskan. Dari Maghrib tadi, beberapa panggilan dibuat oleh Yanti, tapi satu pun Man tak jawab. Man sangat takut, Man tak tahu kenapa dia tak mahu jawab. Sms Yanti saja yang Man baca, tapi Man tak jawab.

"Abang Man, buat apa tu. Kenapa tak niaga hari ni." Sms Yanti dari tadi.
Kalau sebelum ini Man rindukan sms dan panggilan Yanti, tapi malam ini tidak lagi. Malah Man takut untuk jawab. Teringat sangat di telinga Man, kata-kata lelaki yang belasahnya tadi.
"Kalau kau kacau Yanti lagi, siap kau nanti !"

Man cuba tidur awal dalam bilik seawal jam 9.00 malam tapi sukar melelapkan matanya. Mana taknye, biasa tidur paling awal pun jam 12.00 malam lepas niaga. Man makan 2 biji panadol yang ada tersimpan dalam laci almari, Man nak legakan sikit kesakitan yang dialaminya. Perut Man ada sedikit senak tapi Man rasa tak bahaya, mungkin sehari dua boleh baik. Di pipi kanan bawah mata Man ada kesan lebam. Bibir Man nampak dari luar macam tak apa-apa. Cuma dari dalam ada pecah dan berdarah.

Pada Man, nasib baiklah giginya tak patah kena tumbuk, mula ingatkan patah. Kalau patah gigi depan, dah tentu senyuman Man tak memikat Yanti lagi. Kenalah buat gigi palsu. Pernah kawan Man kemalangan motosikal patah gigi depan, buat gigi palsu masuk skru tanam gigi baru. 
Sedang Man tidur, Man rasa ada orang datang ke rumahnya dan bakar rumahnya. Man dengar bunyi jiran-jiran menjerit dan Man cuba melarikan diri dari dalam bilik. Api semakin marak dan Man gagal melarikan diri. Man menjerit minta tolong......

Baru Man sedar, dia sedang bermimpi dan mimpi itu sungguh menakutkan. Seluruh badan Man berpeluh walaupun kipas pasang dari tadi. Man bersyukur, itu hanya mimpi, bukan betul-betul. Man keluar dari bilik dan dilihatnya Aboi sedang asyik tengok tv ada bolasepak di astro. Man tengok jam baru jam 12.30 malam, Aboi belum tidur.

Man duduk sekejap dan periksa telefonnya. Man dapati ada lebih 20 miscal dari Yanti. Man masih ketakutan, Man rasa buat masa ini tak mahu kacau Yanti. Mimpi tadi menakutkan Man. Man tak mahu rumahnya kena bakar sebab berkawan dengan Yanti. Kalau betul-betul terbakar, sudah tentu Man sukar melepaskan diri.

No comments:

Post a Comment