Pemandu teksi gerakkan Man dari tidur lena tadi bila masuk saja kawasan kampung Man. Man terlena rupanya dan terjaga tapi masih mamai-mamai. Man tunjuk arah rumahnya dan teksi menuju ke depan halaman rumahnya. Sebelum keluar kereta, Man sms Aboi, beritahu dia dah selamat sampai rumah. Keluar dari kereta bersama begnya, ibu Man keluar melihat teksi yang datang itu. Rupanya Man yang balik. Ibunya pada mulanya kehairanan sebab biasa Man balik naik kereta sendiri.
Man bersalam dan memeluk ibunya sambil menangis. Ibunya kehairanan dengan tingkah laku spontan Man. Mulanya ibunya tak perasan, muka Man bengkak. Bila perasan, ibunya terkejut.
"Man ! Kenapa jadi begini nak ? Kenapa ?" Kata ibunya.
Man tak mampu berbohong kepada ibunya sendiri seperti sebelum ini dia menipu Yanti.
"Man kena pukul Mak, Man kena pukul..". Jelas Man.
Ibu Man terus meraung memeluk Man dan didengari adik-adik Man yang dari tadi sedang menonton tv di rumah. Adik-adik Man memerhatikan dari jauh.
"Man ! Man ! Kenapa kau nak. Kenapa kena pukul Man ?...Kau bergaduh ke Man ?" Kata ibu Man dalam suasana yang kelam kabut.
Man tidak mampu bersuara, dia hanya boleh menangis. Tak lama kemudian, ayah Man balik dari kedai. Man bersalaman dan mencium tangannya.
"Kenapa muka kau Man ?" Tanya ayahnya.
Man tak jawab, sebaliknya ibu Man yang jawab.
"Tengoklah anak kita ini bang. Dia kena pukul di Johor Bahru. Dari dulu Mak dah risau Man duduk di bandar. Tapi sekarang jadi betul bang..." Kata ibu Man.
Ayah Man rilek saja seolah tidak mahu ikut rentak ibu Man yang risau sangat dan kecoh sejak tadi.
"Biarkan Man masuk dulu, tak elok duduk kat luar, dah nak Maghrib ni". Kata ayah Man.
Mereka semua masuk dan adik Man menyediakan air masak untuk Man. Man minum macam orang dahaga benar, memang dari mula naik bas tadi, dia tak minum seteguk air pun. Lepas mandi dan solat Maghrib, mereka makan nasi bersama. Man nampaknya tak berapa lalu makan walaupun lauk hari tu kira sedap juga. Mulut dan bibir Man sebelah kanan belum baik betul dan sakit kalau terkena makanan. Beberapa suap saja, Man dah berhenti makan dan pergi basuh tangan. Melihat keadaan Man, ibunya menangis kesedihan.
"Man. Nanti mak masakkan bubur Man". Kata ibu Man.
"Tak apa mak, Man sebenarnya dah kenyang minum air tadi". Kata Man.
Man berbaring atas sofa di ruang tamu depan tv sedang yang lain sedang makan lagi. Man kata, dia pening-pening sikit naik bas tadi. Sedang baring, Man seakan terlelap. Tak lama lepas tu, Man terjaga semula bila rasa ada orang lain di ruang tamu iaitu ibu bapa dan adik-adiknya. Ibunya memicit-micit kaki Man yang rasa agak sejuk. Kemudian, di bantal sofa yang berwarna putih itu ada seperti darah mengalir, dilihat oleh ibunya.
"Man ! Man ! Apa ni Man ? Man darah Man...darah Man...". Kata ibunya dalam keadaan cemas.
Ayah Man mengangkat kepala Man dan didapati darah keluar dari dalam telinga sebelah kanan Man. Darahnya agak pekat dan tak berapa banyak. Man seakan tak percaya apa yang berlaku. Tangan kanan Man menggosok-gosok ke bawah telinga kanan dan didapatinya memang ada darah. Ibu Man mengesat darah itu dengan bajunya dan darah masih belum berhenti.
"Man. Sekarang kita pergi ke hospital. Sekarang Man". Kata ayah Man.
Man tiada pilihan lagi. Dia kena pergi ke hospital setelah ayahnya yang suruh. Man tak mahu ibu bapa dan adiknya dalam kerisauan. Ayah Man pandu kereta, manakala ibu Man menemani Man di belakang. Ibunya memangku Man di riba. Darah semakin kurang keluar. Setiap kali darah keluar dari telinga, ibunya akan mengesatnya dengan tuala mandi. Perjalanan dalam 30 minit kalau tak bawa laju. Ibu Man dalam kerisauan, sepanjang jalan, ibunya memanggil-manggil Man.
"Man!.. Man!..... Man !.... Celik mata Man... Celik Mata Man.. jangan tidur Man". Ayat itu diulang-ulang oleh ibu Man sepanjang perjalanan sehinggalah sampai hospital.
Sampai di hospital, ayah Man memapah Man, kemudian dibantu oleh petugas di hospital tu. Man dibawa ke wad kecemasan untuk rawatan segera. Selepas menerangkan kepada doktor, ayah dan ibu Man diminta tunggu di luar sementara doktor melakukan pemeriksaan lanjut. Di hospital, baru ibu Man sedar yang dia tidak berkasut dan berkaki ayam saja. Dari tadi, ibunya tak perasan. Ibu Man masih menangis teresak-esak di kerusi menunggu.
Dalam 20 minit kemudian, kelihatan Man dibawa keluar dari bilik rawatan itu dengan katil beroda dan ditolak oleh 2 orang petugas hospital. Ayah dan ibu Man menerpa dan bertanya tentang keadaan Man. Rupanya Man akan dibawa ke wad dan perlu ditahan beberapa hari di hospital. Man terkejut mendengar berita itu. Pada anggapan Man, dia sihat dan boleh rawat sendiri, tapi ini arahan doktor, dia perlu akur.
Man terkenangkan Yanti , telefon Man tinggal di dalam beg di rumah sejak tadi. Sudah tentu, telefon bimbit dilarang diguna di hospital. Man juga terkenangkan Aboi, yang menjadi teman jual burgernya setiap hari. Man rasa, Yanti dan Aboi adalah nadi penting dalam hidupnya. Tapi Man mahu rahsiakan pada mereka, Man tak mahu menyusahkan mereka. Apatah lagi nak biarkan mereka di dalam kerisauan, sudah tentu risau kalau dengar Man diberitakan kena tahan wad beberapa hari. Man tak tahu berapa hari dia duduk di katil hospital itu. Kalau boleh, Man lebih rela duduk di rumah saja, tapi apa kan daya, sabar je lah.
Tak lama kemudian, Man menerima suntikan di punggung. Kemudian tangan kiri Man dicucuk untuk dimasukkan wayer untuk masuk air ke badannya. Air satu plastik itu pula digantung di palang katil. Man nampak air itu menitik sedikit demi sedikit, masuk ke dalam badan Man. Maka pergerakan Man pun tidak sebebas dan selincah dulu lagi. Malam itu Man tidur hospital, memang inilah satu hari dalam sejarah hidup Man kena tidur hospital.
No comments:
Post a Comment