banner

Tuesday, August 7, 2012

Kisah Penjual Burger 56


Yanti ke tingkat atas menuju ke keretanya. Kali ini dia nekad untuk terus keluar meninggalkan hotel itu dan bersiar-siar seorang diri. Dia melalui Jalan Susur Tun Abdul Razak dan memperlahankan keretanya melihat orang ramai di situ. Yanti tahu apa yang menarik di situ iaitu pondan-pondan yang berpecah-pecah mencari pelanggannya di situ. Dulu, kalau keluar dengan Man atau kawan serumahnya Noor, Yanti selalu juga lalu di situ juga. Terhibur juga hati Yanti malam itu melihat gelagat satu persatu pondan dengan aksi masing-masing.

Kemudian Yanti lalu di pusat beli belah Angsana dan kereta penuh sesak di situ. Ramai orang rupanya ke Angsana dan menghairankan Yanti juga. Rupanya ada jualan mega dan selama 5 hari dan malam itu Angsana dibuka sehingga jam 12.00 malam. Yanti kemudian menuju ke tempat Man berniaga. Jam pukul 10.00 lebih itu ramai orang di situ terutama yang pergi makan. Yanti memberhentikan keretanya supaya keretanya tidak lalu di depan gerai Man. Yanti bimbang kalau-kalau Man perasan kehadiran Yanti.

Lepas itu, dari jauh dan dari kawasan yang agak gelap, Yanti memerhatikan gerai burger Man. Ada 4-5 orang pelanggan sedang menempah burger sehingga menghalang pandangan Yanti ke arah orang yang menjual itu. Begitulah dari dulu, ramainya pelanggan Man, bisik hati kecil Yanti. Yanti kemudian menghampiri dengan lebih dekat dan Yanti dapat melihat dua lelaki sedang asyik memasak burger. Yanti kenal sangat, lelaki itu adalah Aboi tapi Yanti tak kenal siapa lelaki yang seorang lagi. Mungkin itu pekerja baru Man, bisik hati Yanti. Yanti memerhatikan di sekeliling, kalau-kalau Man ada di sekitar kawasan itu, tapi tiada nampaknya.

Terfikir juga Yanti, kalau-kalau Man ada di Restoran Osman, kedai mamak yang Man selalu duduk di situ. Mulanya Yanti nak pergi ke restoran itu tapi Yanti tak jadi pergi memikirkan tempat itu terang. Yanti tak mahu terserempak dengan Man.

Malam itu, Yanti sudah rasa suasana hampir setahun lalu sudah kembali semula. Dulu hampir setiap malam, Yanti melepaskan kerinduan di gerai burger Man. Kalau satu hari tak tengok gerai Man, Yanti seakan tak dapat tidur. Dulu kalau tak jumpa Man satu hari pun tak apa, sekurang-kurang dengan jenguk gerai saja, sudah terubat kerinduan. Hari itu, terbalaslah sudah kerinduan Yanti selama ini. Satu lagi, Yanti terfikir juga untuk rasa burger Man. Burger itu sedap dan sedapnya itu bukan Yanti seorang saja rasa, malah pelanggan lain juga. Hendak saja Yanti pergi beli burger itu ditambah perut Yanti yang mula terasa lapar. Tapi tidak, tidak... Yanti tak mahu kehadirannya disedari. Yanti pasti, Aboi pasti akan beritahu Man kalau dia beli burger hari itu. Yanti batalkan hasrat nak makan burger malam tu.

Jam dah menunjukkan 10.45 malam. Yanti masuk ke kereta dan hendak pulang semula ke hotel. Dalam perjalanan, Yanti terasa hendak sangat untuk lalu di depan rumah Man. Yanti percaya, kehadirannya sukar disedari Man kerana sekitar rumah Man agak gelap sedikit. Yer, rumah itu juga dulu sebagai ubat kerinduan bagi Yanti kalau tak jumpa Man. Yanti lalu di depan rumah Man dan mendapati kereta Waja Man tiada, yang ada cuma motosikal ex-5 Man. Lampu di hadapan terang dan Yanti yakin, Man ada di kawasan itu juga. Suasana di rumah Man tidak banyak berubah dan Yanti melihat baju-baju Man bersidai di luar. Yanti kenal, itu semua adalah baju Man yang dia selalu lihat dulu waktu keluar dengan Yanti.

Bila lalu di Angsana, Yanti rasa teringin nak singgah di situ. Dapat juga nak beli-beli di situ. Dulu, di Angsanalah pusat beli belah yang Yanti paling suka kerana hampir semua benda ada di situ seperti pakaian dan makanan. Tambah lagi, hari itu ada jualan Mega yang pasti hebat dan membakar nafsu Yanti. Terasa pulak lapar dan teringin nak makan mee rebus Johor yang terkenal itu. Yanti tercari-cari tempat letak kereta, tapi tidak berjaya kerana orang semakin ramai yang datang sehingga pengawal keselamatan bertungkus lumus mengawal lalulintas. Banyak kereta termasuk kereta dari Singapura datang ke situ malam itu. Terpaksa Yanti batalkan hasrat nak singgah Angsana malam itu. Tapi tak apa, malam esok masih ada peluang bagi Yanti. Yanti balik ke hotel.

Dari tadi, Badrol dah beberapa kali telefon dan sms Yanti tapi satu pun Yanti tak balas. Tak boleh tidur dibuatnya Badrol malam itu dan dia fikir yang bukan-bukan pada Yanti. Tersiksa Badrol malam itu dihimpit ketakutan akan kehilangan Yanti selepas ini. Ditambah pula dengan kata-kata Azizah yang kata Yanti sudah ada pakwe masa di JB dulu. Badrol bimbang kalau cinta itu berputik kembali. Badrol sudah pendamkan lama untuk jadikan Yanti sebagai isteri yang sah.

Badrol yakin dia dapat membahagiakan hidup Yanti dan dapat diterima oleh keluarga Yanti ditambah dengan sokongan Azizah, kakak Yanti sendiri. Tapi masalahnya sekarang adalah Yanti sendiri. Sudah banyak kali Yanti mengecewakan Badrol yang sentiasa impikan ungkapan cinta dari mulut Yanti tetapi hambar belaka. Segala umpan-umpan yang dipasang Badrol, Yanti makan umpan itu, tapi tak pernah pun Yanti tersangkut di mata kail pancingnya. Pernah beberapa kali Badrol kecewa dan sudah mengumumkan persaraannya untuk memikat Yanti setelah dilanda kegagalan. Tapi persaraan  itu tak lama dan Badrol tetap masuk ke gelanggang. Badrol tak pernah mengenal putus asa, dia tetap berusaha menambat hati dan jiwa Yanti.

Mak Syira dah kasi Syira dan Nizar ke JB esok. Paling gembira malam itu adalah Nizar yang melonjak kegembiraan dan mengemas baju. Syira tegur Nizar kenapa bawa banyak baju dan beg besar walaupun bukan lama nak ke JB tu. Nizar nampannya tak hiraukan semua itu. Nizar merancang nak duduk lama di JB yang lebih menyeronokkan baginya.  Terfikir juga Syira, dia nak ke JB tetapi tak beritahu pun pada Man. Syira fikir, esok saja telefon Man bila dah dekat-dekat sampai ke JB.

Lagi satu, kan perlu juga telefon kak Yanti sebab itu tujuan asalnya. Tapi terfikir juga Syira, bimbang kalau-kalau perancangannya nak pertemukan Man dan Yanti tak menjadi. Nak dipertemukan di mana ? Takkanlah di hotel, itu tempat Yanti kursus. Di gerai burger Man ? Kan situ sedang sibuk dengan pelanggan. Perkara itu mengusutkan fikiran Syira juga dan menyukarkannya untuk tidur malam itu.

 Satu lagi, bagaimana kalau dia tidak berjaya hari esok ? Yer, mungkin juga tidak berjaya. Semua itu bukan senang. Nak harapkan Nizar, Syira percaya Nizar tak boleh diharapkan dalam hal ini. Syira tahu, yang Nizar gembira sangat adalah Man beri Nizar bawak moto Man di JB walaupun Nizar tak ada lesen memandu. Jadi, Syira tau, itu saja yang Nizar seronokkan. Tapi bagi Syira, bukan benda seronok yang dia fikir, tapi benda yang bukan mudah baginya esok.

Ustaz Khalil baru pulang dari Gunung Ledang dan agak keletihan. Lepas solat maghrib, dia tertidur dengan nyenyaknya dan terjaga dalam jam 10.30 malam. Dalam keadaan mamai itu, ustaz Khalil fikir, elok sangat kalau pekena teh tarik untuk menghilangkan rasa mamainya itu. Oleh kerana dia seorang, elok juga dia minum bersama Man. Lagipun, Man ada benda yang katanya penting sangat nak beritahu dan Ustaz Khalil rasa, hari itu dia mesti tahu apa cerita sebenarnya.

"Hello Man.... Ada di mana ?" Telefon ustaz Khalil.

"Ada dekat-dekat sini saja ustaz. Ustaz di mana ?" Kata Man.

"Saya kat rumah JB ni. Jom keluar minum sekarang. Tunggu saya kat Restoran Akif, sekejap lagi saya keluar". Kata Khalil.

Mereka bertemu di Restoran Akif, tak jauh dengan rumah ustaz Khalil. Ustaz Khalil suka sangat teh tarik kedai tu. Malah, dalam JB ustaz Khalil kata, itulah teh tarik paling sedap di JB. Sampai saja Man di situ, Khalil hairan dengan Man yang berpakaian baju kemeja lengan pendek dan ada bau minyak wangi.

"Pergi mana tadi Man ? Pakai smart aja malam-malam ni ?". Tanya ustaz Khalil.

"Alahhh.. biasalah ustaz, jumpa kawan tadi". Kata Man.

"Smart-smart ni, macam jumpa makwe ajer" Sindir ustaz Khalil.

"Hehe..." Tergelah Man dibuatnya.

Ustaz Khalil minum teh tarik dan roti telur. Man pula cuma minum teh O tapi tak makan. Anggapan ustaz Khalil, mungkin Man baru makan. Yer le, jumpa kawan, tentu dah makan sama.

"Dah selesai ke tugas ustaz di luar daerah tu ?" Tanya Man.

"Selesailah untuk hari ni Man. Lepas ni ada kena pergi sana lagi, Gunung Ledang, kes ajaran sesat. Tangkapan dah dibuat semalam". Kata Khalil.

"Menarik tu ustaz, seronoklah kerja macam ustaz ni, banyak benda boleh jumpa". Kata Man.

"Yer le, dah kerja saya, saya buat-buat seronok kerja ni dan taknak fikir susah. Kalau nak fikir susah, memang susah, kena tinggal keluarga beberapa hari dan tidur dalam khemah kat sana" Kata Khalil.

"Sampai kena tidur sana ? Tak takut ke ustaz ?". Kata Man.

"Dah kerja macam saya ni, dah tak ada rasa takut dah. Alhamdulillah, dulu masa kat universiti dulu masuk tentera, dah biasa dengan keadaan macam tu. Kira tidur dalam hutan tu dah jadi lumrah". Kata Khalil.

Begitulah perbualan mereka sambil makan. Belum pun keluar kata-kata yang dinanti-nantikan iaitu apakah perkara yang penting nak diberitahu Man. Tak lama kemudian, Man nampaknya ingin memulakan bicara pentingnya itu.

"Ustaz. Maafkan Man, kalau.....". Kata Man dan kata-katanya terhenti.

"Yer Man, teruskan" Kata ustaz Khalil.

Berat hati Man untuk melafazkan kata-kata itu lagi. Man tunduk dan menggenggam tangannya. Ustaz Khalil tahu, Man perlukan semangat untuk meneruskan kata-kata itu.  Ustaz Khalil terdiam menantikan kata-kata lanjut Man.

"Ustaz. Man insan yang kerdil. Man......" Kata-kata Man terputus lagi.

Ustaz Khalil nampak satu yang berat sehingga Man jadi sebegitu. Bila direnung ke mata Man, Man mengalirkan air mata dan mengesat-ngesat dengan jarinya. Ustaz Khalil tak berkata apa-apa, sambil tangannya mengangkat gelas menghirup air teh tarik.

Apakah yang sangat berat itu ? Kenapa Man menangis ? Air mata kegembiraan atau air mata kesedihan ?

No comments:

Post a Comment