banner

Tuesday, August 7, 2012

Kisah Penjual Burger 38


Jam dah menunjukkan jam dua lebih. Man minta diri untuk bantu Aboi tutup gerai. Hari tu, malam minggu, gerai tutup agak lewat sikit.

"Ustaz, nanti bila-bila senang kita jumpa lagi. Seronok berbual lama dengan ustaz". Kata Man.

"Okey Man. Sebelum tu Man, kalau ada lagi orang yang ajak nikah Siam tu telefon, sila beritahu saya segera". Kata Khalil.

"Okey ustaz" Kata Man.

Ustaz Khalil terus balik rumah, Man pula lepas kemas gerai terus balik rumah juga. Man tidur dengan nyenyaknya malam tu, cuaca sejuk, ada sikit-sikit hujan. Lepas subuh Man tidur semula. Dalam jam 10 pagi, Man terkejut, seperti ada beberapa orang memberi salam sambil mengetuk besi pagar dengan mangga. Man terus keluar dan terkejut, yang datang itu adalah mak, ayah dan adik-adik Man, Syira dan Nizar, adik-adik lain tak ikut. Man ambil kunci pintu pagar dan buka pintu.  Mereka datang satu kereta toyota SE, adik lain tumpang rumah makcik kejap.

"Mak, kenapa datang tak telefon dulu ?" Kata Man.

"Tak apa Man, mak taknak susahkan Man". Jawab mak Man ringkas.

Man bersalaman dengan semua. Dalam hati mak Man cukup gembira kerana Man seolah-olah tidak simpan dendam terutama kepada ayah Man.

"Mak, abah, jemput masuk. Maaf, tak sempat kemas rumah" Kata Man.

"Tak apa Man, kami datang ni nak tengok-tengok kau. Sihat ke tidak. Janganlah kerja sampai jauh malam sangat. Kau ni belum sihat sangat-sangat". Kata mak Man.

"Alhamdulillah mak, dah beransur sihat. Man tak kerja keras macam dulu. Aboi banyak bantu kerja Man. Man kalau rasa penat, Man balik rumah, biar Aboi yang uruskan". Kata Man.

Kehadiran keluarga Man ke rumahnya menyedihkan Man juga. Man rasa bersalah kerana balik ke JB dari kampung dulu seolah-olah macam melarikan diri. Lepas tu Man seolah merajuk dan tak ada telefon keluarga di kampung lagi. Hari ini seolah-olah Man sudah memaafkan semuanya, Man sudah tidak berasa hati lagi dengan keluarganya.

"Syira dan Nizar, macam mana belajar ? Dah tinggal sebulan lagi ni nak periksa STPM dan SPM ni" Kata Man pada adiknya.

"Yer abang Man, ingat Syira datang JB ni, nak ke Angsana, nak pergi Badan Cemerlang, sana banyak buku rujukan dan soalan ramalan periksa.". Kata Syira.

"Yer, lepas ni boleh le kita sama-sama pergi Angsana. Man dah lama sangat tak pergi sana walaupun dekat. Betul sana banyak buku. Syira dan Nizar pilihlah buku, nanti semua abang Man bayarkan". Kata Man.

"Terima kasih Abang Man". Jawab Syira sambil tersenyum memandang adiknya Nizar.

"Syira, Nizar, beritahulah abang Man, periksa percubaan baru ni dapat berapa. Abang Man kan belum tahu lagi." Kata mak Man.

"Oh yer, periksa percubaan baru ni macammana Syira dan Nizar ?" Tanya Man.

Mulanya Man hampir terkedu juga sebab dia sendiri terlupa yang adiknya baru periksa percubaan. Baru Man tersedar yang masalah dirinya baru-baru ni sedikit melupakan pelajaran adiknya. Sebelum ni Man tak begitu, sebelum ni Man selalu bertanya, sekurang-kurang telefon.

"Man... adik kau ni Syira pelajar terbaik dalam percubaan STPM dan Nizar terbaik dalam SPM di sekolah. Sampai mak dan abah kau dijemput ke sekolah minggu depan untuk majlis penyampaian hadiah.". Kata mak Man.

"Terbaik ? Alhamdulillah...." Kata Man, tiba-tiba kata-katanya terhenti seketika. Man sedih, kerana itulah harapan Man pada adik-adiknya selama ini untuk lihat adik-adiknya berjaya. Man tak mahu adik-adiknya tercicir macam Man, penjual burger jalanan. Man kenang semula zaman sekolahnya, bukan dia tak pandai, periksa biasa dapat nombor 3 dalam kelas hampir berturut-turut. Tapi kerana kesempitan kewangan, Man terpaksa korbankan cita-cita untuk terus belajar. Hari ini Man rasa bersyukur, dengan harapan periksa STPM dan SPM sebenar nanti, adik-adiknya akan mencatat keputusan yang cemerlang juga.

Syira turut sedih bila melihat Man mengalirkan air mata. Secara spontan, Syira berkata.

"Terima kasih Abang Man. Abang Man dan Kak Yanti sudah banyak membantu memberi semangat kepada kami. Syira mahu berjaya masuk universiti dan bekerja jadi pegawai macam kak Yanti. Kak Yanti berjaya merubah Syira dan Nizar dari pelajar yang malas belajar kepada rajin sehingga berjaya dapat keputusan sebegini.." Kata Syira.

Semua yang ada di situ terdiam. Ayah Man menjeling ke arah Syira seolah tak bersetuju dengan kata-kata Syira itu. Ayah Man macam nak suruh Syira berhenti bercakap, tapi ayah Man tidak bersuara.  Mak Man diam saja. Man pula tunduk, kemudian menutup muka. Lalu Man menangis teresak-esak. Mak Man mengurut-urut leher dan kepala Man.

"Man, sabar Man. Bertenang, jangan sedih Man..." Kata mak Man.

Kemudian ayah Man pula bersuara, yang dari tadi berdiam diri saja.

"Syira.. pergi ke sana Syira, cuba jangan ganggu abang Man lagi. Ini urusan orang tua berbual " Kata ayah Man.

Syira terasa hati dengan ayahnya. Pada Syira, dia tak salah, kenapa dia persalahkan. Dia sebut nama Yanti kerana Yanti adalah pemberi peransang dan motivasi kepadanya. Kenapa Syira tidak boleh menyanjung nama itu ?  Kenapa seorang yang baik di hatinya tidak boleh diberi penghargaan. Itulah yang membuatkan Syira naik angin juga.

"Mak.. Abah. Maafkan Syira.... kita semua sayangkan abang Man, kita banyak bergantung harap pada abang Man. Tapi kenapa kita tak mahu menjaga perasaan abang Man..." Kata Syira dengan nada yang agak tinggi.

Kata-kata Syira itu, merubah suasana dalam rumah itu dari tenang kepada tegang pula. Man terus teresak-esak dan menutup mukanya dengan tangan kirinya. Air mata Man terus mengalir.

"Sudahlah, sudah Syira, kita datang ni bukan nak berbalah sama-sama adik beradik". Kata mak Man.

Syira macam tak puas hati lagi. Darah mudanya sukar dikawal. Syira rasa, hari ni nak jadi apa, jadilah. Inilah peluang sama-sama duduk semeja. Syira rasa, Syira tak mahu pendamkan lagi apa yang terbuku dalam hatinya selama ini.

"Mak, abah... Kenapa kita halang jodoh abang Man dengan Kak Yanti. Kalau kita sayangkan abang Man, kita sepatutnya merasai perasaan abang Man. Tapi abah dan mak sanggup mengecewakan abang Man. Kita semua lupa, abang Man banyak berkorban untuk kita sekeluarga. Setiap malam berjaga sampai larut malam menjual burger untuk melihat mak, abah dan adik-adik cukup makan dan pakai. ....Kenapa kita lupa, kenapa ?..." Kata Syira.

Semua sekali terdiam bila Syira meninggikan suaranya, bercakap sambil menangis. Man terus terdiam, seolah-olah membiarkan Syira terus berkata-kata.

"Mak, abah.... Kalau abang Man tak sanggup berpisah dengan Kak Yanti, sebenarnya Syira dan Nizar juga tak sanggup berpisah dengan Kak Yanti. Kalau abang Man sanggup bertarung nyawa, sehingga hampir dibunuh waktu menjual burger di Johor Bahru, Syira dan Nizar juga sanggup bertarung nyawa untuk kebahagian abang Man. Kenapa mak dan ayah tak pernah fikirkan perasaan abang Man, kenapa ?" Kata Syira yang lebih menegangkan keadaan.

"Syira... bukan begitu Syira. Kita..." Kata ayah Man, tapi dipotong perkataan itu oleh mak Man. Mak Man seolah tak mahu ayahnya bersuara. Mungkin mak Man bimbang, ayah Man nanti tidak boleh mengawal kemarahan.

"Begini Syira...Siapa kata mak dan abah tak memahami perasaan abang Man. Mak dan ayah ni lagi banyak fikir. Mak takkanlah taknak tengok anak mak  bahagia, takkanlah macam tu. Cuma mak tak mahu Man dapat halangan, kalau terus nak kawin dengan Yanti. Kita fikirlah, Yanti tu anak orang berada, bukan macam keluarga kita orang kampung. Apa yang dah jadi pada Man, sampai Man hampir mati kena pukul. Nasib baik panjang umur, kalau tak ?...Sebab mak sayangkan Manlah, mak nasihatkan Man. Mak bukan halang, sapa kata mak halang". Kata mak Man.

Syira sedikit terdiam, nada agresifnya tadi sudah semakin kendur dengan penjelasan maknya tadi. Kemudian ayah Man pula bersuara.

"Man, maafkan abah kalau Man terasa hati dengan abah di kampung dulu. Bukan niat abah nak halang kau kawan dengan perempuan kaya tu. Abah rasa, lepas ni, abah taknak campur lagi pasal jodoh Man. Man dah besar panjang, dah masuk 30 tahun, dah boleh fikir buruk dan baik." Kata ayah Man dengan nada yang lembut.

Tangisan Man sudah mulai reda walaupun suasana belum kendur lagi. Man bersuara seperti tidak mahu perbahasan isu ini diperdebatkan lagi.

"Mak, abah, Syira....Man minta maaf banyak-banyak pada semua. Man, kalau boleh, tak mahu isu ini dipenjangkan lagi. Izinkan Man bersendirian buat masa ini. Man mahu menghampirkan diri dengan Allah. Man akui, Man sebelum ini agak terleka dan kadang-kadang cuai dan tinggal sembahyang. Alhamdulillah, peristiwa lalu cukup jadi pengajaran pada Man. Syukur  Alhamdulillah, Allah memanjangkan umur Man. Mungkin sebab Allah memberikan masa untuk Man bertaubat dan memperbaiki diri Man...." Kata Man sehingga semua terdiam.

"Kalau umur Man tak panjang, ampunkan dosa Man pada mak dan abah. Man tak mahu jadi anak derhaka pada ibubapa. Syira dan Nizar, teruskan hidup dan jangan melawan cakap mak abah. Kalau dah berjaya dapat ijazah dan jadi pegawai tinggi nanti, jangan lupa mak abah di kampung. Dan jangan pandang rendah pada orang miskin termasuk orang jual burger tepi jalan..." Kata Man lagi.

Man rasa mak ayah dia dah lewat nak ke Angsana. Man yang mulanya kata nak ikut sama, nampaknya memberi alasan malas dan hendak sambung tidur. Man hulurkan duit dua ratus seorang pada Nizar dan Syira untuk beli buku. Mak ayah Man kata, dari Angana nanti akan terus balik ke kampung sebab adik-adik dia tak ikut.

"Man...maafkan mak dan abah. Jaga diri kau baik-baik nak. Kalau ada masa tu, baliklah ke kampung, jenguk mak.. Jaga diri baik-baik Man, kita hidup di tempat orang ni jangan suka cari gaduh dengan orang. Mak hari-hari risau pada dengan keselamatan kau Man". Kata mak Man waktu bersalaman dan Man cium tangan ibu dan bapanya.

No comments:

Post a Comment