banner

Tuesday, August 7, 2012

Kisah Penjual Burger 60


Nizar terus masuk ke dalam rumah tanpa menjawab sepatah pun pertanyaan kakaknya itu. Dia nampak kakaknya dah naik angin dan nak marah-marah, jadi pada Nizar, jangan dijawab. Nizar terus ke bilik dan memakai tuala mandi.

"Ke mana kau pergi Nizar, siap kau nanti, akak cakap pada abang Man. Dah lah tak ada lesen, tak mintak izin pulak pada abang Man...." Syira terus membebel. Sepatah haram pun Nizar tak jawab, kemudian Nizar terus masuk ke bilik air.

"Orang ajak dia datang JB bukan nak cari masalah, ini dia pulak yang buat masalah. Kakak risau tau..." Syira terus membebel dari luar bilik air, Nizar  dengan selambanya tak menjawab dan sambil mandi.

Lama juga menunggu Nizar keluar bilik air dan Syira duduk di atas meja makan sambil menonton tv. Sekali fikir, kesian juga tengok Nizar kena marah, tak elok marah-marah, bisik hati kecil Syira.. Bau nasi ayam menusuk masuk ke hidung Syira dan Syira buka tudung saji tengok makanan tu. Kesian Nizar, tentu lapar dari tadi tak makan, bisik hati kecil Syira.

Lepas Nizar siap pakai baju, Nizar ke ruang tamu.

"Nizar, mari makan, tadi Aboi belikan nasi ayam, sedap ni". Kata Syira pada adiknya itu seakan mahu memujuk bila tengok Nizar macam merajuk kena bebel.

Nizar pun duduk di meja sambil Syira letakkan makanan dalam pinggan Nizar dan tuangkan air.

"Makan sikit jer kak, tadi tengahari dah makan". Kata Nizar. Sambil itu, Nizar mulakan dengan mencubit peha nasi ayam tu.

"Dah makan ? Makan kat mana ?". Tanya Syira.

"Kat UTM Skudai". Jawab Nizar ringkas.

"UTM ? Jauh tu, kau pergi UTM!" Kata Syira dengan suara yang sikit tinggi.

Nizar diam dan tak berkata-kata lagi. Terkilan juga bila Syira tinggikan suara terutama masa tengah makan. Teringat pada pesan mak dia, kalau depan makanan tak boleh marah-marah, pantang sama sekali. Mengadap rezeki kenalah bersyukur, bukan nak gaduh-gaduh, pesan mak dia, mungkin Syira lupa pada pesan mak.

Syira baru tersedar bila lihat perubahan pada Nizar, tadi ceria, sekarang dah mula merajuk lagi. Terfikir Syira, dia tak patut tengking adiknya macam tu.

"Nizar, buat apa UTM ?" Tanya Syira dengan nada yang lembut. Nizar tak jawab terus, dia tenung muka kakaknya dulu, nampak macam okey juga muka kakaknya kali ini.

"Saja jalan-jalan sana, nanti senang kalau Nizar masuk UTM, taklah susah sangat". Jawab Nizar.

Tahulah Syira, sebenarnya tadi Nizar bawak moto dengan tak ada lesennya ke UTM, jauh juga tu. Berasap-berasap juga dengan adiknya, tapi benda dah berlaku, diungkit macam mana pun, tak ada maknanyer. Nizar masuk sampai dalam kampus UTM dan hairan juga bagaimana pengawal benarkan Nizar masuk. Nizar rupanya menyamar sebagai pelajar dan kebetulan waktu itu banyak moto masuk sehingga pengawal lepaskan Nizar masuk.

Nizar habiskan beberapa jam di dalam kampus tu, pusing-pusing kat dalam tu. Bila lapar, Nizar makan kat kafe kat dalam tu dan dapat diskaun harga kerana disangkanya Nizar ni pelajar situ. Bila masuk waktu, Nizar ke masjid UTM, Nizar puji, katanya cantik masjid tu. Kemudian Nizar pergi ke perpustakaan dan habiskan beberapa jam di situ. Seronok Nizar baca buku-buku di sana dan yang lebih seronok tengok awek-awek kat sana. Dalam hati Nizar, awek-awek UTM ni cun-cun. Dalam hati Nizar, kalau masuk UTM nanti, boleh dapat ramai awek. Lepas tu baru Nizar balik ke rumah dan tak ada polis pun yang tahan.

Syira dengar saja cerita adiknya itu, seronok juga tapi  kekadang mengeleng-ngeleng kepala. Ada ker patut, Nizar tinggalkan Syira seorang kat rumah dalam kerisauan. Dia pergi seronok-seronok sampai UTM. Dah lah tu, pergi UTM tak beritahu dan menipu, kata pergi dekat jer. Syira lepas tu ambil kunci moto Man dan tak beri lagi pada Nizar. Nizar tak kata apa-apa tapi selamba saja baring tengok tv.

Dalam bilik, Syira sms Yanti dan tak lama kemudian Yanti telefon semula.

"Kakak kat bilik ni. Tapi tak dapat jumpa Syira petang ni sebab kawan ni ajak pergi ke rumah kakak dia di Permas Jaya. Kawan tu tak ada kereta, tumpang kereta kakak. Tak sempatlah petang ni. Nanti malam ni kita jumpa, nanti kakak telefon semula". Kata Yanti.

Kembali kepada tujuan asal Syira ke JB untuk merapatkan semula Yanti dengan abang Man. Tapi masalahnya sekarang, Man tak balik lagi dan tak tahu bila dia balik. Nak cakap dalam telefon nampak macam tak sesuai. Sampai sekarang Syira tak beritahu sesiapa pun samada Yanti atau Man tentang hasratnya itu. Berserabut kepala Syira, seakan sudah menyerah kalah awal, seakan terpaksa membatalkan hasrat murninya itu.

Dalam jam 6.00 lebih, Man pun balik ke rumah dengan kereta Wajanya. Syira terus ke depan pintu, manakala Nizar tetap baring depan tv, buat macam tak kisah saja. Dalam hati Nizar, janganlah pulak Syira mengadu pada abang Man pasal bawak moto sampai UTM tadi. Nizar fikir kalau cerita pun, Man tak marah punya. Tapi taknye, kakaknya tak buka mulut pun pasal tu.

Man beli banyak makanan, ada jagung rebus, mee goreng, apam balik dan kacang rebus yang dibeli di pasar malam tadi. Satu yang mengejutkan Syira, Man pakai baju Melayu baru lengkap termasuk songkok dan sampin yang dipegang ditangannya.

Kenapa pakai baju Melayu ? Hairan sunggup Syira dibuatnya. Dah tu, wangi pula abang dia tu, mesti  minyak wangi mahal. Berubah sungguh abangnya itu, tak macam biasa. Yer, kenapa pakai baju Melayu yer ? Hairan sungguh Syira....

BERSAMBUNG KE EPISOD 61

No comments:

Post a Comment