banner

Tuesday, August 7, 2012

Kisah Penjual Burger 53


Esoknya pagi-pagi, Syira, Nizar dan mak ayahnya sedang bersedia nak ke bandar, nak ambil borang universiti di pejabat pos. Sedang mereka bersiap, tiba-tiba ada kereta datang. Itu cikgu Syikin dan dia seorang saja datang. Terkejut juga semua, apa halnya pula pagi-pagi ni. Rupanya cikgu Syikin nak beri borang universiti untuk Syira dan Nizar. Gembira mereka sekeluarga kerana cikgu Syikin begitu mengambil berat tentang keluarga mereka.  Jadi tak payahlah mereka ke bandar, hingga ayah Man tukar baju semula nak ke kebun.

Pilihan pertama Syira adalah nak ambil jurusan undang-undang. Antara pilihannya adalah UKM, UM dan UIA, semuanya di kawasan sebelah Kuala Lumpur. Nizar pula nak masuk matrikulasi Sains, mana-mana pun tak apa. Cikgu Syikin menerangkan jurusan mana yang sesuai pada mereka. Mak Man puji betul cikgu Syikin, katanya tak pernah ada guru yang begitu prihatin sebegitu pada keluarganya.

Yanti baru terima surat ada kursus di Johor Bahru selama 3 hari esok, ganti bosnya.  Entah macam mana nama Yanti yang naik. Tak apalah pergi saja, Yanti kan dah biasa JB tu. Hari tu, Yanti keluar ke sebuah pasaraya seorang diri  waktu rehat tengahari. Yanti nak belikan hadiah pada Syira dan Nizar. Dulu Yanti dah cadang lama nak belikan hadiah tu kalau Syira dan Nizar berjaya. Yanti terpandang telefon bimbit yang harga tak terlalu mahal tapi baik. Lepas pilih-pilih, akhirnya Yanti belikan dua biji, satu untuk Syira dan satu untuk Nizar. Niat Yanti nak serahkan pada Syira dan Nizar di Johor nanti.

Malam itu, Man makan lewat sikit sebab dah janji jam 10.00 malam Man jumpa Ustaz Khalil di Restoran Osman. Tiba-tiba dalam jam 9.30 Man dapat panggilan telefon dari Ustaz Khalil.

"Man. Maaflah malam ni. Saya belum balik JB, ada kerja yang belum beres ni di luar daerah". Kata Khalil.

"Oh yer ke... Tak apa ustaz, nanti bila senang boleh jumpa. Man tahu ustaz sibuk. Ustaz kat mana tu ?". Kata Man.

"Ada di satu lokasi, Man. Bukan kat JB ni, jauh" Kata Khalil.

Ustaz Khalil pun sebenarnya memang nak jumpa Man, nak tahu apa yang penting Man kata tu. Tentu ada sesuatu ni. Tapi waktu itu Khalil masih di Gunung Ledang dalam satu operasi melibatkan ajaran sesat. Khalil sendiri pun tak tahu kes tu boleh selesai dan dia tak boleh meninggalkan tempat itu selagi belum selesai. Kes berkaitan perbomohan yang meragukan dan melibatkan ramai pengikut. Sebagai ketua operasi, Khalil tak dapat meninggalkan lokasi selagi orang itu masih menjalankan kegiatannya.

Esoknya Yanti bertolak dari KL pagi, sampai di Kampung Man dalam jam 11.00 pagi. Yanti telefon Syira tapi Syira ke bandar nak beli barang keperluan, bukan di rumah. Yanti terus ke bandar dan jumpa Syira di sebuah supermarket untuk serahkan hadiah itu. Yanti tak menyangka yang Syira bersama ibu dan bapanya ke bandar bersama Syira. Tadi Yanti lupa nak tanya, Syira seorang ke ramai. Yanti tergamam bila bertentangan dengan mak dan ayah Syira. Teringat sangat lagi Yanti, perkataan dan kata-kata mak dan ayah Man pada Yanti seperti yang diceritakan oleh Syira padanya. Yanti tergamam seakan mahu melarikan diri tapi tak boleh.

Tanpa diduga, mak Man memanggil Yanti.

"Yanti....mari sini nak". Kata Mak Man.

Yanti terkejut dengan panggilan itu. Perkatan 'nak' itu menusuk ke jantungnya. Kemudian mak Man mendapatkan Yanti dan memeluk Yanti. Selepas itu mak Man menangis. Orang yang lalu lalang di supermarket itu nampak semacam ada satu drama.

Syira juga tak dapat menahan kesedihan bila melihat maknya dan Yanti masing-masing berjurai air mata. Ayah Man yang memerhatikan aksi itu turut sedih tapi tak sampai mengeluarkan air mata. Mereka pergi makan bersama, Yanti yang belanja dan Yanti nampaknya riang hari itu. Tidak timbul dan tidak diungkit kisah-kisah lama yang boleh melukakan hati mana-mana pihak.

Ayah Man tidak lagi pandang serong pada Yanti, ibu Man pun begitu. Keseronokan dan kegembiraan anaknya yang dapat keputusan peperiksaan terbaik menyebabkan hati mereka sangat riang dan melupakan kisah silam yang sedih itu. Mak dan ayah Man gembira kerana Yanti sama-sama meraikan kegembiaan itu serta memberikan hadiah. Jamuan makan itu pun dianggap sebagai belanja kesyukuran.

Tapi Syira seakan tak lalu makan kerana dia rasa ada suatu yang tak lengkap. Iaitu, tiada Man Burger di situ. Di mana Man sekarang, sudah makan tengahari ke belum ? Alangkah gembiranya keluarga itu kalau Man ada di situ dapat makan bersama. Tapi bukan semudah itu.... Bolehkah ini berlaku ?

Syira terlalu banyak terhutang budi pada Man. Entah berapa ribu kali Man terasa hati pada Syira. Dan berapa banyak wang ringgit yang Man sudah curahkan sehingga dia berjaya dalam perperiksaan dan bakal masuk ke universiti. Tidak dapat terbalas semua itu. Tapi bolehkah Man menerima satu hadiah istimewa kerana pengorbanan itu ? Hadiah itu pasti mengembirakan Man iaitu....

Jiwa Syira begitu bergelora untuk mengeluarkan kata-kata yang sangat mahal itu di depan ayah, mak dan Yanti. Mulanya Syira tahankan saja apa yang nak dicakapkan. Tapi rupanya tak boleh tertahan lagi, jiwanya memberontak.

"Mak, abah.. Abang Man patut menerima satu hadiah istimewa dari kita". Kata Syira menyebabkan semua terdiam.

Semua memandang ke arah Syira dan dengar betul-betul apa yang hendak Syira katakan.

"Mak, abah... Hadiahkan abang Man suatu yang mengembirakan dalam hidupnya." Kata Syira.

Semua sekali terdiam lagi.

"Hadiahkanlah kebahagian Man dengan menjodohkan Abang Man dengan Kak Yanti..." Kata Syira.

Mak dan ayah Man tunduk dan terdiam. Selepas itu nampak tangan bapanya mengesat air mata yang tidak berjaya dihalang untuk keluar.  Yanti kuatkan semangat walaupun dia sangat sedih dengan kata-kata Syira itu. Jauh di sudut hati, Yanti rasa, masih ada orang yang masih mempertahankan cintanya dengan Man, iaitu Syira. Yanti sudah tidak dapat mengawal kesedihannya, kemudian mengelap tangannya dengan tisu kemudian mencapai beg tangan dan bangun meninggalkan meja makan itu. Yanti menuju ke tangga bergerak seorang diri untuk balik tanpa bersalaman atau berkata apa-apa kepada keluara Man. Fikirannya buntu. Yanti sebenarnya tidak mahu menangis di depan mak ayah Man, sebab itu dia terus bingkas bangun.

Syira mengejar Yanti hingga ke satu tingkat ke bawah menaiki tangga bergerak. 

"Kak Yanti. Maaf kak Yanti. Maafkan Syira dengan kata-kata Syira tadi". Kata Syira sambil memegang bahu Yanti dari belakang.  Yanti memberhentikan langkahnya.

"Tak mengapa Syira... itu luahan perasaan Syira. Sudahlah Syira, kakak tak terasa hati pun". Kata Yanti.

Syira memandang ke arah Yanti yang nampaknya tidak menangis lagi, sebaliknya mukanya serius.

"Terima kasih kerana masih mempertahankan cinta itu. Jangan disebut-sebut lagi Syira". Kata Yanti.

Syira terdiam dan Syira faham, kata-katanya tadi ada menyinggung perasaan Yanti.

" Syira, mengenai jodoh dan masa depan kakak, kakak tak kisah. Kakak terima apa saja ketentuan Ilahi. Kakak terima semua itu dan doakan kakak tabah menghadapinya. Baik Syira, kirim salam pada semua, terutama mak ayah Syira, kakak kena pergi ke JB sekarang. Kakak dah lewat ni". Kata Yanti mengakhir bicara seterusnya menuju ke kereta di tingkat bawah.

Yanti terus ke JB, menuju ke Hotel Grand Continental (sekarang ini Hotel Selesa). Apa yang berlaku selepas ini. Ikuti sambungannya yang dah tak berapa lama ni.

No comments:

Post a Comment