banner

Tuesday, August 7, 2012

Kisah Penjual Burger 26


Masuk ke rumah, ibu Yanti ada di ruang tamu. Ibunya nampak gembira dan memanggil bapa Yanti yang waktu itu ada di bilik lepas solat Isyak. Yanti sedikit berdebar menunggu ayahnya keluar dari bilik. Sementara itu, Yanti sempat memerhatikan di dinding ruang tamu yang perhiasannya  nampak ada sedikit perubahan susun aturnya. Yanti terkejut bila melihat beberapa gambar Yanti tergantung di dinding. Antaranya gambar Yanti berjubah bersama ayahnya selepas menerima ijazah. Kemudian, Yanti memerhatikan gambar-gambar lain.

 Ada satu gambar tu, gambar Yanti sekeluarga pada satu hari raya Aidilfitri yang Yanti tak ingat bila, tapi itu masa Yanti masih kecil dan adik beradiknya semuanya belum kahwin. Yang menyentuh hati Yanti, gambar Yanti sekeluarga itu, Yanti duduk di sebelah abangnya Fuad dengan begitu mesra nampaknya. Tersentuh hati Yanti. Itu dulu, sekarang Yanti dan Fuad bagaimana ? Bolehkah keriangan itu kembali.

Tak lama kemudian, Yanti dengar suara bapanya batuk, bapanya baru keluar dari bilik, lepas solat tadi. Yanti menuju ke arah bapanya yang berbaju Melayu putih dan berkain pelekat dan berkopiah putih. Yanti bersalaman dan memeluk bapanya sambil menangis.

"Abah...Ampunkan Yanti, abah.". Kata Yanti.

Bapanya menggosok-gosok kepala Yanti. Yanti terasa, ayahnya kelihatan kurus dan tak seperti dulu. Nani memerhatikan saja Yanti. Nani gembira kerana dengan nasihatnya supaya menjenguk ayah Yanti, dapat menjernihkan keluarga Yanti. Mereka makan malam bersama, Yanti akui, dia sudah lama tak makan bersama bapanya. Yanti duduk di sebelah bapanya dan banyak bertanyakan kesihatan bapanya.

"Abah sekarang kena ke hospital seminggu sekali. Yang terbaru, doktor kata buah pinggang abah ada lemah sikit sebab ada mengecut sikit". Kata ayahnya.

"Yer, abah hari-hari kena makan ubat kencing manis dan darah tinggi. Kadang-kadang abah ada alahan dengan ubat tu, kekadang cirit birit, mak cepat-cepat bawak pegi hospital". Kata ibu Yanti.

Yanti diam sambil makan.

"Yanti, mak kadang-kadang pun tak berapa sihat, kadang-kadang pening mata. Nak bawak kereta tu macam tak berapa berani, lebih lagi  jalan jem nak ke hospital tu..... Jadi kalau Yanti duduk rumah ni, kurang-kurang dapat bantu hantar abah ke hospital kalau abah ada temujanji dan kecemasan." Kata ibu Yanti.

Yanti terus terdiam dan memandang ke arah Nani. Yanti nampak Nani  tersenyum dan mengangguk saja.

"Nanti mak... sekarang Yanti masih sibuk dengan kerja-kerja, kekadang balik sampai malam". Kata Yanti. Hati dan perasaan Yanti masih serba salah.

Yanti tak lama di rumah ibu bapanya. Perasaan Yanti selalu bermain,Yanti takut kalau abang-abangnya datang ke situ malam tu. Yanti fikir, kalau ada abangnya, mugkin ada berlaku pergaduhan besar malam itu. Yanti tak mahu bergaduh lagi, dia mahu mencari ketenangan.

Dalam kereta, Yanti dan Nani berbual, antaranya adakah patut Yanti duduk di rumah ibu bapanya di KL.

"Kenapa tak patutnya, itu kan rumah kau, rumah mak ayah, bukan rumah adik beradik". Kata Nani.

"Aku tahu, tapi adik beradik aku pasti akan kerap datang. Aku tak mahu berdepan dengan adik beradik aku pada masa ni. Entahlah, kecewa pun ada, malu pun ada. Aku rasa malu dengan mereka, aku jadi bahan ejekan dalam keluarga aku. Semua orang persalahkan aku....". Kata Yanti.

"Tapi itu dulu Yanti, sekarang belum tentu. Bergaduh adik beradik ni lambat laun akan berdamai juga. Lebih lagi masa mak ayah kau masih ada ni. ". Kata Nani.

Yanti dan Nani singgah di sebuah kedai mamak di Gombak, nampak meriah kedai tu. Waktu itu jam dah menunjukkan 12.00 malam tapi mereka belum boleh tidur. Dalam perbualan di kedai itu, Yanti bertanyakan pendapat Nani tentang hubungannya dengan Man Burger. Patut diteruskan atau tidak.

"Nani. Kalau kaulah, kalau kau di tempat aku, perlukah kau teruskan perhubungan dengan Man Burger tu". Tanya Yanti seolah-olah mahu Nani meletakkan diri Nani ke dalam dirinya.

"Yanti. Maafkan aku, kalau aku mengguris hati kau. Bukan niat aku nak mengguris hati kau Yanti". Kata Nani.
Yanti terdiam sambil menggangguk dan mendengar baik-baik apa yang dikatakan oleh kawan baiknya itu.

"Kau sanggup terima Man Burger, sedangkan kau kehilangan mak, ayah kau yang melahir dan membesarkan kau dan kehilangan adik beradik kau. ?" Tanya Nani.

Soalan itu sukar dijawab oleh Yanti dan Yanti terus terdiam. Jantungnya tersentak dengan soalan keras Nani itu, tajam dan tepat menyentuh sanubari Yanti soalan itu.

"Tapi kalau kau tolak cinta Man Burger, kau akan terus ada mak, ayah dan adik beradik. Mana yang lebih jadi keutamaan dalam diri kau Yanti....... Maafkan aku Yanti bertanya soalan begini". Kata Nani.

"Entah Nani, aku sukar jawab. Yang aku fikir, aku tak mahu hilang sapa-sapa dalam hidup aku. Aku taknak hilang mak, ayah, adik beradik dan aku taknak kehilangan abang Man". Kata Yanti yang masih angkuh menegakkan benang yang basah, masih mempertahankan Man Burger.

"Ok. Yanti, yang aku nampak, sekarang ini, kau tak akan dapat semua, kau akan hilang salah satu. Kau kena tabah menghadapinya....". Kata Nani.

"Betul kata kau, Nani. Aku tahu, abang-abang aku sangat keras kepala. Mereka sampai sanggup jadi penjenayah dan pembunuh supaya aku tinggalkan abang Man....". Kata Yanti.
"Yer, yang aku nampak, abang kau akan buat apa saja supaya hidup kau tak bahagia walaupun kau dah kawin dengan Man Burger tu. Jadi, jangan sampai hidup kau nanti diselubungi ketakutan dan masalah" Kata Nani.

Yanti mengangguk-angguk dan tidak menjawab. Kemudian mereka pulang ke rumah.

Hari itu, banyak perkara yang Yanti lalui dan malam itu seakan tak mudah memelapkan mata. Yanti tengok, Nani tidur lena sampai berdengkur, tapi malam itu dia sukar melelapkan mata. Sudah beberapa minggu dia berpindah ke KL dan dia tidak pun menghubungi Man Burger. Bagaimana kesihatan Man ? Sudah sikat ke belum. Sudah jawab sms atau boleh bercakap dalam telefon ke belum ? Yanti tak tahu. Tapi dia mahu sendirian sekarang, dia tahan kerinduan yang penuh dendam kesumat pada Man Burger. Dia berjaya nampaknya.....

Yanti teringat kata-kata kawannya Nani itu, yang patut juga Yanti duduk di rumahnya saja, rumah pun tak jauh dengan pejabat. Boleh juga bantu ayah yang tak berapa sihat. Sebagai anak perempuan, bila lagi nak jaga ayah dalam keadaan macam ni. Anak perempuan lain, bukan macam anak lelaki.

Fikiran Yanti kembali berkecamuk. Wajarkah dia pindah ke rumah ayahnya. Nani pun bukan lama lagi di rumah ni, dalam 5-6 bulan lagi Nani nak kawin, dah tentu keluar rumah... Dua tiga hari lagi, Yanti akan ke Kemaman, jadi urusetia kursus induksi pegawai, dua minggu di sana.

No comments:

Post a Comment