banner

Tuesday, August 7, 2012

Kisah Penjual Burger 3


Man masih menaruh harapan yang satu hari nanti, gadis itu akan menelefonnya. Mungkin waktu hujung bulan, waktu orang dapat gaji gerai burgernya ramai, mungkin gadis itu akan menelefonnya untuk membuat tempahan. Yang Man nak tahu, nombor telefon yang gadis itu dah tentu terpapar nanti. Man dah rancang, kalau ada no tel gadis tu, boleh saja sms. Tapi anggapan Man meleset. Gadis itu datang ke gerainya beli burger, sanggup tunggu lama macam biasa. Tak telefon pun. Man taklah tanya kenapa tak telefon, malulah pulak.

Anggapan Man, mungkin gadis pujaannya itu dah ada pakwe atau dah tunang. Takkanlah gadis secantik itu tak ada pakwe pada anggapan Man. Tapi Man tak kisah semua tu, Man tetap teruskan usaha, bagaimana nak memulakannya. Hatinya sudah terpaut.

Suatu hari, pagi Ahad dalam jam 11.00, Man ke sebuah pasar di JB. Biasalah kalau hari Ahad ni Man bangun tidur lewat sebab malamnya tutup kedai hingga ke pukul 2.00 pagi, orang ramai hujung minggu. Sedang Man tolak troli berisi sayur timun dan salad serta telur, dari jauh Man terpandang seseorang. Yer, gadis itu sedang membeli di pasar dengan seorang kawannya, mungkin itu teman serumahnya. Man rasa malu nak tegur sebab gadis tu berdua, Man sorang. Bila berselisih ketika sama-sama tolak troli, tiba-tiba gadis itu menegurnya.

"Hai... banyak beli ? ". Kata gadis tu sambil tersenyum manis.

"Errrrg. Yer, beli untuk niaga". Kata Man sambil suaranya tersekat-sekat, nampak sangat gemuruhnya. Itu saja perbualan mereka.

Man tak boleh bercakap lama, troli Man kena jalan cepat, tak boleh berhenti sebab ada orang lain yang tolak troli di belakang. Kemudian dalam beberapa langkah, Man berhenti semula dan menoleh ke belakang, dilihatnya gadis itu menuju keluar dan hendak pulang. Man belum habis membeli. Dalam hati Man, ada sikit menyesal iaitu kenapa dia tak berbual lama-lama tadi. Tapi dalam hati Man cukup gembira sebab gadis pujaannya itu menyapanya tadi, sungguh Man tak sangka. Hari itu kiranya adalah hari yang mengembirakan dalam hidupnya.

Suatu hari tu, Man pandu kereta Wajanya perlahan di jalan dua hala. Kemudian Man nampak kereta satria merah yang nombor pendaftarannya Man kenal, memotongnya dari sebelah kanan. Betullah Man nampak gadis tu berdua dengan kawannya. Man terus memecut untuk mengekori kereta tu dan Man percaya gadis tu nak pulang ke rumah. Pada Man, bagus juga kalau dia ikut tapi jauh sikit supaya tak nampak. Man nak tahu juga di mana rumah gadis tu. Kemudian kereta satria tu membelok ke sebuah pangsapuri yang ada pengawal keselamatan. Barulah Man tahu, gadis tu tinggal di situ, tak jauh dengan gerai burgernya. Setahu Man, pengawal keselamatan tu tak berapa tegas dan biasanya membenarkan kereta luar untuk masuk. Hari tu Man tak masuk ke dalam pagar pangsapuri tu, cukuplah Man tahu di situ rumahnya.

Keesokannya, Man masuk ke pangsapuri tu, Man angkat tangan pada pengawal dan dibenarkan masuk. Man nak tengok kereta dan sekurang-kurang nak tahu gadis tu duduk di blok mana. Hari itu, Man nampak kereta tu di blog A, parking teduh di bawah pokok. Melihat kereta tu saja, kerinduan Man mula terubat. Kira dahsyat tu, tengok kereta pun boleh terubat rindu. Man jeling-jeling, rumah yang mana satu gadis tu duduk, blok A saja ada 4 tingkat, lebih kurang 20 biji rumah. Memang susahlah nak tahu tapi pada Man cukuplah untuk hari itu, mungkin hari lain Man tahu rumah mana gadis tu duduk. Man rasa kalau tahu rumah, makin terubat kerinduan, lebih lagi kalau dapat tengok baju 'Shiela Majid' yang tersidai di ampaian tu.

Suatu petang, Man buka gerai dalam jam 6.00 petang bersama seorang pembantunya. Hari tu dah lebih sebulan Man kasi nombor telefon pada gadis tu, tapi masih belum ada satu pun panggilan. Tapi Man terus sabar menunggu, pada Man bukan setakat sebulan, setahun pun Man boleh tunggu. Bagaimanapun, tak berapa lama kemudian, telefon Man berbunyi dan Man jawab. Panggilan dari seorang wanita muda.

"Helo, ini Man ker. Man yang jual burger tu ker ?". Seorang gadis yang Man masih belum kenal.

"Yer, ini Man. Boleh tahu siapa cakap ni?". Man tanya dengan suara yang agak bersopan. Maklumlah perempuan muda yang telefon tu, kenalah kontrol suara.

"Ini Yanti. Yang selalu beli burger tu". Jelas perempuan tu.

"Yanti ? Yang mana satu ni yer ". Man memang tak kenal walaupun hati dia ada syak juga, mungkin itu gadis pujaannya yang dapat nama timang timangannya Shiela Majid tu. Sebab Man tak ada kasi nombor telefon dia kepada pelanggan lain kecuali gadis tu.

"Ini Yanti yang bawak satria merah tu". Kata gadis tu.

"Oh yer, Yanti. Nak oder burger ke? Hari ni nak ayam ke daging ?" Kata Man kerana dia ingatkan gadis tu nak tempah burger.

"Tak tak, bukan nak beli burger. Nak mintak tolong sikit sekarang boleh tak ?". Kata Yanti.

"Minta tolong ? Boleh, boleh. Tolong apa ?". Kata Man dengan penuh yakin dia dapat tolong, walaupun Man tak pasti mintak tolong apa.

"Man. Kereta Yanti sekarang mati di trafik light dekat dengan bank bumi ni. Boleh tak mintak tolong datang tengokkan. Yanti seorang jer sini, rasa takut pulak, tak tahu nak buat apa". Kata Yanti dan suaranya agak panik dan ketakutan juga.

"Boleh, boleh, kejap lagi Man datang, tunggu kat situ yer". Kata Man dengan bersemangat, terus dia tinggalkan gerai dia pada pembantunya. Man bawak kereta Wajanya.

Dalam 10 minit Man sampai ke situ seorang. Man lihat kereta kereta satria merah di tepi jalan tapi tak ada orang. Rupanya Yanti ada jauh sikit di tempat tunggu bas tak jauh dari situ.

"Kenapa kereta yer ?". Tanya Man sambil matanya menjeling pada wajah ayu Yanti. Terubat kerinduan, dah dua hari tak jumpa. Rupa namanya Yanti, manis nama itu, semanis orangnya. Yanti hari tu bertudung corak-corak warna coklat, tshirt putih dan seluar slack kelabu. Nampak cantik hari tu, bisik hati Man.

"Tak tahulah, tadi baru lepas basuh kereta, sampai kat sini terus mati. Tadi orang lain tolong tolakkan kereta ke tepi." jelas Yanti.

Kemudian Man buka enjin dan cuba start tapi masih tak hidup. Man tak berapa tahu sangat bab nak repair kereta ni. Kalau setakat tengok bateri dan air tu bolehlah, tapi bateri elok lagi. Kemudian Man telefon kawannya Ajis yang bengkelnya tak jauh dengan gerai burgernya.

"Helo Ajis. Ada free ker ? Boleh ke datang kat sini depan bank bumi, kereta satria merah, saya ada sini". Telefon Man.

"Ok. Boleh, tapi rosak apa ?". Ajis.

"Tak tahulah tapi tadi baru lepas basuh kereta. Tiba-tiba mati". Man

"Ok. Aku datang, mungkin ada cuci enjin tu, mungkin masuk air. Nanti aku datang tengok". Ajis.

Sepuluh minit juga menunggu Ajis datang. Jadi ini peluang Man berdua saja dengan Yanti di situ sambil berdiri sebelah kereta. Man seakan bermimpi dapat menemankan Yanti petang tu. Man cuba yakinkan dirinya yang dia bukan sedang tidur sambil gadis pujaannya datang dalam mimpi. Ini bukan cubaannn tapi kenyataan. Tapi apa yang Man nak bualkan ? Senggugut Man dah mula datang, berdetap detup jantungnya. Yanti nampak rilek saja, tak macam Man.

No comments:

Post a Comment