banner

Monday, March 4, 2013

Penceroboh di lahad datu sabah bukan dari kesultanan sulu?..meh bincan


penceroboh di lahad datu sabah bkn dari kesultanan sulu?..meh bincang



Sultan Jamalul Kiram III (duduk), Sultan Esmail Kiram II (bersongkok kelabu). Mereka ni adalah anak-anak Datu Punjungan Kiram yang mengangkat diri jadi Sultan Sulu sama-sama. Walau pun setiap mereka mengangkat diri jadi Sultan Sulu namun mereka nampak akrab walhal dalam Protokol Kenaikan Sultan Sulu tidak membenarkan dua sultan dalam satu masa.


Kronologi:

- Akhir tahun lalu gerakan Kesultanan Sulu Darul Islam yang dipimpin oleh Sultan Bantilan Muhammad Muizzuddin II di Jolo Sulu telah diberikan laporan dari Tawi-Tawi bahawa ada satu gerakan bersenjata sedang berlatih dengan keahlian lebih kurang 400 orang lelaki. Mereka ialah gerakan keluarga Punjungan Kiram dari Pulau Simunul menurut laporan tersebut.

- Sultan Bantilan II kemudian mengeluarkan kenyataan kepada wakilnya di Tawi-Tawi agar tidak melibatkan diri dengan mana-mana pihak bersenjata. Maka sekiranya ada ahli SSDI (Sultaniyah Sulu Darul Islam) yang terlibat maka SSDI berlepas diri dari sebarang tanggungjawab, yakni SSDI tiada kaitan dengan mereka.

- Sultan Bantilan II juga menghantar mesej ke Sabah khusus kepada ahli SSDI yang sedang bekerja di sana agar memastikan ahlinya tidak terlibat dengan sebarang gerakan bersenjata. Sekiranya ada minta dilaporkan ke Istana seberapa segera. Kerana menurut pandangan Sultan Bantilan, kemungkinan gerakan bersenjata KIRAM tersebut adalah untuk sabotaj gerakan Kesultanan Sulu (SSDI).

- Tiga hari sebelum pihak bersenjata KIRAM masuk ke Lahad Datu, Sabah, Istana Sultan Bantilan II di Jolo mendapat maklumat bahawa ada dua bot besar sedang bersiap menuju ke Sabah sarat dengan senjata berat dan dikatakan punya misi untuk berperang.

- Menurut laporan dari Tawi-Tawi mereka ini ditertawakan oleh para penyokong Sultan Sulu lain kerana menurut mereka mana mungkin dengan hanya dua bot sebesar itu dan tentera yang bilangannya boleh dibilang dengan jari kaki dapat menewaskan tentera Malaysia yang serba lengkap itu. Mereka dianggap bunuh diri. Bagi Sultan Bantilan di Jolo pula, gerakan bersenjata KIRAM ini ada pihak yang lebih besar main dibelakang mereka.

- Kemudian beberapa hari kemudian mereka telah sampai ke Lahad Datu yang menurut laporan mereka sampai dulu di Felda Sahabat 17. Dari dua bot itu yang satu telah berjaya dipintas malah dikatakan telah karam. Manakala yang satu lagi berjaya mendarat dan terus berkubu.



PBMM Sultan SSDI


- Menurut laporan dalam kumpulan Kiram itu terdapat seorang lelaki berkulit putih memakai baju celoreng. Pelbagai spekulasi timbul selepas itu berkenaan kehadiran lelaki kulit putih tersebut dalam kumpulan penceroboh itu. Namun menurut Sultan Bantilan II di Jolo, SSDI tidak boleh mengeluarkan kenyataan spekulasi berkenaan kehadiran kulit putih tersebut kemungkinan hanyalah rekaan untuk mengaiktan pencerobohan itu dengan tentera Balikatan USA yang sekarang sedang berkubu di Tawi-Tawi dan Jolo.

- Lahad Datu tiba-tiba kecoh bak diserang garuda. Huru-hara dari pasar ke kampung-kampung. Ada yang yang seperti meracau tak tentu pasal kerana berasakan Lahad Datu bakal menjadi medan pertempuran ala filem Holywood. Dikhabarkan dari saksi mata, bahawa mereka yang berkubu di Lahad Datu itu memang nekad dan sarat dengan senjata berat. Mengambil posisi strategik dan nampaknya mereka seperti sudah biasa berperang. Almaklum latihan tentera mereka berbulan bulan sejak tahun lalu.

- Ada laporan sebahagian mereka itu adalah bekas tentera MNLF yang sudah lama mufarakah dari MNLF. Mereka adalah dari suku Tausug yang GAGGIL (degil) dan selalu melanggar arahan ketua. Menurut saksi mata yang telah ambil video sebagaimana yang dilaporkan dalam Facebook wajah-wajah mereka seperti sudah hilang seri walau pun kelihatan menakutkan. Hilang seri seperti tanda bahawa mereka bakal mati katak di tangan tentera Malaysia. Rambut sebahagian mereka panjang sebagai melambangkan kepahlawanan Tausug yang walau pun nampak kalah secara lojik namun dianggarkan dapat bertahan berbulan bulan malah mungkin bertahun. Mereka dapat bertahan begitu kerana mungkin berjaya berenang larikan diri semula ke pulau Tawi-Tawi. Selamat.

- Malaysia nampaknya panik seketika. Pelbagai tuduhan dan spekulasi bergema di mana-mana. Ada yang buat sepekulasi bahawa tentera penceroboh itu diatur oleh Kerajaan BN-UMNO sendiri untuk mnejadikannya hero lantaran itu pengundi KDM pun akan kembali menyokong BN. Ada pula spekulasi yang menyatakan bahawa itu adalah perancangan PKR untuk memburukkan kerajaan BN. Ada yang kata ia perancangan USA-Filipina untuk dapatkan semula Sabah demi Minyak di Laut Sulu dan Spratly. Ada yang katakan bahawa kemungkinan ia adalah kerja MNLF dan ABU SAYYAF kerana marah pada Malaysia yang menyokong MILF dalam perjanjian damai tahun lalu. Ada juga yang kata ia dilakukan oleh kumpulan politikus dari Filipina untuk dapatkan pampasan demi menampung kos kempen pilihanraya ARMM tidak lama lagi di Sulu-Mindanau.

- Akhirnya bocor rahsia setelah tunggang-langgang mencari jawapan, bahawa mereka itu adalah tentera KIRAM yang kemudian didapati mereka seperti ditipu dengan janji-janji pelik. Kemungkinan besar ada yang dijanjikan tanah seluas beribu ekar, ladang kelapa sawit berhektar, dan mungkin ada yang dijanjikan dengan hanya diberikan seluar LEVI'S 501. Yang lebih pelik kedengaran janji bahawa mereka kalau dah sampai ke Sabah, wakil Inggeris sedang sedia dengan berguni USD untuk diberikan kepada mereka. Nampak seperti bergurau dan melucukan. Mungkin saja benar mungkin saja tidak walau pun mungkin terbukti mereka dihantar untuk dijadikan umpan untuk dibunuh oleh MALAYSIA.

- Nyata sekali mereka adalah perangkap kepada MALAYSIA menurut analisis alternatif di tepi jalan. Mereka yang masuk kelihatan sedikit dan senang dimakan, namun ia bahaya sebagaimana bahayanya ikan buntal yang kecil tapi jerung pun takut termakannya. Sebesar mana pun ikan jerung dengan gigi semula jadi tajam namun takut termakan ikan buntal.

- Mereka berkata, kalau Malaysia lepaskan tembakan dan berjaya membunuh mereka maka PASUKAN YANG LEBIH BESAR akan datang. Ikan-ikan buntal yang datang kemudian ini akan dilemparkan ke seluruh pantai timur Sabah. Namun, kalau Malaysia berjaya menghalau mereka secara aman tanpa berlaku apa-apa. Nyata sekali misi ikan-ikan buntal akan gagal.



Sultan Jamalul Kiram III bin Datu Punjungan sedang memberikan arahan kepada tenteranya yang masuk ceroboh Sabah supaya bertahan kerana Malaysia akan tetap memberikan mereka makanan.

- Sultan Bantilan II di Jolo sebagai ketua gerakan SSDI yang bergerak secara aman tanpa senjata, menyeru saudara-saudara seagama di Malaysia agar cepat memformasikan satu jawatankuasa bertindak dengan menghimnpun sejarahwan Malaysia dan Sulu. Duduk semeja memandang positif kepada gerakan Kesultanan Sulu secara aman ini. Malaysia harus bertindak dahulu sebelum ia berlarutan menjadi benda lain. Gerakan Kesultanan Sulu semakin mendapat tempat. Kiram walau pun tindakannya kali ini sangat menjadikannya tidak popular malah menjadikannya sebagai keluarga kesultanan Sulu yang selamanya melakukan kesilapan. Namun sekurang-kurangnya tindakan subersif KIRAM ini dapat membuka mata Malaysia betapa masanya sudah tiba untuk MEMBICARAKAN KESULTANANSULU.


Keluarga Kiram sangat terancam dengan gerakan Kesultanan Sulu Darul Islam (SSDI) yang dijalankan oleh Sultan Bantilan II di kepulauan Sulu saat ini. Perarakan demi perarakan secara aman oleh rakyat SSDI selama 6 tahun sehingga kini menjadikan keluarga KIRAM perlu "DO SOMETHING". Kerana menurut KIRAM, SABAH dan SULU itu adalah milik keluarganya, bukan milik kerajaan SULU yang mana ia bukan milik pribadi mana-mana Datu pun melainkan ia hak rakyat Sulu secara keseluruhan. KIRAM tidak pernah belajar dari kesilapannya yang lalu. Mereka sangat ketinggalan dari pengetahuan sejarah sekali pun generasi muda Tausug sudah berjaya menulis pelbagai buku sejarah Sulu. Foto: Rakyat Sultan Bantilan II membanjiri bandar Jolo ketika perarakan besar-besaran beberapa tahun yang lalu.

Senarai Sultan-sultan Sulu

"Fakta sejarah telah membuktikan bahawa Tanah Melayu dan seluruh Asia Tenggara telah mendapat cahaya keislaman adalah hasil berkat kegigihan dan dedikasi para pendakwah yang datang dari kota Tarim, Hadramaut, Yaman sehinggalah telah tersebarnya mazhab 'Aqidah Ahli sunnah wal-Jama'ah' dan mazhab feqah Imam Syafi'e r.a." (Prof. Hamka)
.
Berikut ialah senarai Sultan-sultan Sulu sejak permulaan hingga sekarang. Walaubagaimana pun yang diiktiraf oleh ahli sejarah termasuk Filipina hanya 32 dari Kesultanan Sulu. Bermula pada 1450 atau 1457 M hingga 1936 M. Akhir dari kesultanan Sulu telah memeterai perjanjian dengan Kerajaan Filipina untuk membangunkan wilayah Sulu maka sejak itu kerajaan Filipina mengambil alih pentadbiran mengatasi kuasa Kesultanan Sulu sendiri. Antara Sultan Suluyang disenarai ialah:
__________________________________________________ ______________________


Fasa 1 (Sayyid/Syed )
.
1. SULTAN SHARIFUL-HASHIM (Sayyid Abu Bakar - keturunan Sayyidina Hussein r.a.)
Sultan Sulu yang pertama, nama asalnya Sayyid Abu Bakar bin Sayyid Ali Zainal Abidin (Ahlul-Bait dari Sayyidina Hussein r.a) yang datang dari Makkah. Seorang ulamak yang pernah singgah di Melaka kemudian ke Indonesia setelah itu meneruskan perjalanannya ke Brunei, sebelum itu sempat singgah di Johor (sebab mungkin ada keluarganya di sana). Dari Brunei beliau meneruskan perjalanan ke Sulu. Beliau berjaya mengislamkan masyarakat Sulu (Buranun, Taguimaha, Baklaya) dan kemudian diangkat menjadi Sultan Sulu yang pertama pada 1450 atau 1457 M dan memerintah hingga 1480 M dengan menggunakan gelaran Sultan Shariful Hashim.

Membina masjid-masjid, madrasah di Sulu. Baginda sendiri yang berusaha memberi pelajaran dan kefahaman agama kepada orang-orang Tausug. Sebab itu baginda adalah ulamak yang pertama sekali memperkenalkan kaedah pembelajaran Al-Quran dan Hadith yang lebih sistematik dan telah melatih para da'i-da'i Sulu bagaimana untuk mengajar.[4]
Baginda adalah seorang ulamak sufi yang lemah lembut dan penyayang sebab itu dengan mudah dapat mengislamkan masyarakat Tausug Baklaya & Taguima (penduduk tinggal di pantai) dan dengan hikmah dapat mengislamkan masyarakat Tausug Buranun (penduduk tinggal di pergunungan) yang majoritinya menganut Hindu-Buddha dan animisma.
Memperkenalkan akidah Ahlusunnah waljama'ah (Imam Al-Asy'ari r.a /Imam Al-Maturidi r.a), dan mazhab feqah Imam As-Syafi'e r.a. Berkemungkinan baginda adalah pengamal tareqat muktabarah kerana beliau membawa kitab Ad-Durr Al-Manzum karangan Abu Ishak As-Syrazi ketika datang ke Nusantara.[5]
Baginda adalah saudara kandung kepada Sayyid Muhammad Kabongsuan (datang dari Johor bersama orang Bajao) pengasas Kesultanan Maguindanao pada 1515 M.
Baginda (Sayyid Abu Bakar) digelar Syarif oleh masyarakat Sulu adalah disebabkan kaum Tausug yang naik haji ke Makkah mengenali keturunan Rasulullah S.A.W. hanya dengan istilah Syarif (kerana ketika itu penguasa Makkah adalah dari keluarga Syarif-syarif). Hingga hari ini kaum Tausug masih tidak berjaya menyebut dengan betul perkataan Syarif itu kecuali dengan sebutan "Salip".

2. SULTAN KAMALUDDIN

Anak kepada Sultan Shariful-Hashim. Memerintah Sulu 1480-1519.
Anaknya Puteri Laila Menchenai berkahwin dengan Sultan Brunei iaitu Sultan Bolkiah (Nakhoda Ragam) maka lahirlah anak mereka yang juga jadi Sultan Brunei iaitu Sultan Abdul Kahar.[6]

3. SULTAN ALAWADDIN
4. SULTAN AMIRUL-UMARA
5. SULTAN MUIZZUDDIN MUTAWADDIN
6. SULTAN NASARUDDIN AL-AWAL


7. SULTAN MUHAMMAD UL-HALIM
@ PANGIRAN BUDDIMAN UL-HALIM

Beliau berkahwin pula dengan Puteri Sultan Abdul Kahar, Sultan Brunei.
Maka lahirlah Betarashah Tengah dan Seorang pu-teri (puteri ini pula berkahwin dengan Sultan Muhammad Hassan, Sultan Brunei).
Puteri Sultan Muhammad Ul-Halim yang berkahwin dengan Sultan Brunei ini (Sultan Muhammad Hassan) telah dikurniakan putera bernama Raja Bongsu-I.

8. SULTAN BETARASHAH TENGAH @ PENGUILAN/PENGERAN TINDIG [7]

Anak kepada Sultan Muhammad Buddiman Ul-Halim.
Mangkat tanpa zuriat.
Takhta diserahkan kepada anak saudaranya, RAJA BONGSU-I (Anak Sultan Brunei dengan saudara perempuannya).
Ini bermakna Sultan Betarashah Tengah adalah Sultan Sulu terakhir dari keturunan Sultan Shariful Hashim @ Sayyid Abu Bakar (dari Sayyidina Hussein ra).


__________________________________________________ ______________________

Fasa 2 (Syarif)

9. SULTAN MAWALIL-WASIT @ RAJA BONGSU-I @ PANGIRAN SHAHBANDAR MAHARAJALELA IBNI SULTAN MUHAMMAD HASSAN dari BRUNEI
Bermulanya Kesultanan Sulu dari keturunan Sultan Brunei, Sultan Sharif Ali (Barkat Ali) dari (Sayyidina Hassan ra).


10. SULTAN NASIRUDDIN-II

Ahli sejarah kabur tentangnya, kemungkinan beliau ialah Sultan Qudarat dari Kesultanan Maguindanao.
Sebabnya ialah beliau telah berkahwin dengan puteri Sultan Mawalil-Wasit @ Raja Bongsu-I yang bernama SITI KABIRA.
Salah satu sebab juga ialah Sultan Qudarat sangat berkuasa ketika itu sehingga dapat menguasai Bandar Zamboanga dari Spanyol dan kekuasaannya dirasai hingga ke Pulau Basilan sendiri (Rujuk Prof. Cesar Adib Majul "Islam Di Filipina").

11. SULTAN SALAHUDDIN-KARAMAT @ PANGIRAN BAKHTIAR

Pada zaman beliaulah kesultanan Brunei mengalami perang saudara yang berlarutan 10 tahun lamanya. Sultan Brunei telah meminta bantuan darinya untuk menamatkan perang saudara tersebut. Sultan Salahuddin Karamat ini menghantar bala tenteranya ke Brunei dan berjaya menamatkan perang saudara yang hampir memusnahkan Kerajaan Brunei.
Dengan bantuan tersebut Sultan Brunei menghadiahkan Borneo Utara (Sabah) kepadanya (Sultan Sulu).
Permintaan bantuan dari Sultan Brunei tersebut bukanlah perkara pelik kerana mereka (kedua-dua kesultanan) saling tolong-menolong antara satu sama lain sememangnya mereka adalah bersaudara atau bersepupu (lihat percantuman keluarga antara cucu-cucu Syarif Ali Barakat dengan cucu-cucu Sayyid Abu Bakar @ Shariful Hashim di atas).
Sementara menunggu Datu Sahabuddin ibni Sultan Salahuddin-Karamat layak menjadi Sultan Sulu - mungkin masih kecil, (kerana perlu mengikut protokol Diraja Sulu) maka 3 orang sultan sementara telah dilantik secara bergilir-gilir bermula 1680 hingga 1685.

Antaranya ialah:-
(SULTAN SEMENTARA)


12. SULTAN ALI SHAH, atau Nai Long Ena. Beliau sebenarnya adalah Sultan Riau Lingga. Beliau juga adalah putera yang ke-4 Sultan Muzaffar Syah III @

Koya Long dalam kerajaan Islam Siam Kedah Pasai Ma,Gangga Negara yang mana kekuasaannya meliputi Semenanjung Tanah Melayu , Sumatera, Riau hingga ke Borneo dan Sulu.
.
13. SULTAN NURUL A'LAM @ SITI KABIRA, dan
.
14. SULTAN AL-HAQUNU IBN WALI UL AHAD.
__________________________________________________ ______________________



Fasa 3 (Penggiliran Takhta Bermula)
.
15. SULTAN SAHABUDDIN

Putera sulung Sultan Salahuddin-Karamat.
Mula mengutip cukai di Borneo Utara (Sabah)

.
16. SULTAN MUSTAFA SHAFIUDDIN

Putera kedua Sultan Salahuddin-Karamat (adik kepada Sultan Sahabuddin).


17. SULTAN BADARUDDIN-I

Putera ketiga Sultan Salahuddin-Karamat.
Isteri pertamanya ialah gadis Bugis dari Soopeng (Soppeng) Sulawesi.
Bondanya (Sultan Badaruddin-I) sendiri adalah daripada suku kaum Tidung. Dan beliau juga berkahwin dengan Puteri Tidung sebagai isteri kedua.

18. SULTAN AZIMUDDIN @ ALIMUDDIN-I @ FERNANDO DE ALIMUDDIN.

Putera dari isteri pertama (bugis) Sultan Badaruddin-I.
Beliau seorang ulamak yang belajar agama di pesantren Betawi, Jawa.
Setelah beliau "dibaptis" oleh padri Spanyol pada 1750 dalam gereja di Manila, menyebabkan kekuasaan beliau ke atas takhta Kesultanan Sulu telah terbatal secara otomatik.
Bermulanya keturunan KELUARGA KIRAM & SHAKIRAULLAH (Lambang keris dalam bendera Sulu)
Maka takhta Sultan Sulu telah diambil alih oleh adiknya (adindanya) dari isteri kedua (Tidung) iaitu RAJA MUDA BANTILAN IBNI SULTAN BADARUDDIN-I (menggelarkan dirinya SULTAN BANTILAN MUIZZUDDIN).

19. SULTAN BANTILAN MUIZZUDDIN IBNI SULTAN BADARUDDIN-I.
Bermulanya keturunan KELUARGA MAHARAJA ADINDA (Lambang tombak dalam bendera Sulu).

20. SULTAN AZIMUDDIN @ ALIMUDDIN-II IBNI SULTAN BANTILAN MUIZZUDDIN.

Lahir dari sulbinya seorang putera iaitu RAJA MUDA DATU BANTILAN melahirkan MAHARAJAH ADINDA SULTAN MOHAMMAD ARANAN/ADANAN PUYO (menaiki takhta selama seminggu) melahirkan DATU MOHAMMAD SHIEIK/SIE/SEH/SY.
Di sinilah bermula susur galur keluarga YM Datu Ali Aman bin YM Datu Aliuddin Haddis Pabila dan YM Datu Uda @ Ladjamura bin YM Datu Wasik.


21. SULTAN MUHAMMAD ISRAIL
Putera Sultan Azimuddin @ Alimuddin-I.
.
22. SULTAN SHARIFUDDIN

Juga putera Sultan Azimuddin @ Alimuddin-I.

23. SULTAN ALIMUDDIN @ AZIMUDDIN-III

Putera Sultan Sharifuddin.
Sultan ini menaiki takhta pada 1808 hanya selama 40 hari jadi sultan. Rajamudanya yang diiktiraf ketika itu ialah Raja Muda Datu Bantilan @ Raja Muda Badaruddin ibni Sultan Alimuddin @ Azimuddin-II (rajamuda dari keluarga Maharaja Adinda ini sepatutnya menaiki takhta setelah Sultan Alimuddin @Azimuddin-III malangnya direbut oleh Sultan Aliuddin (lihat bawah) maka bermulalah 'pelanggaran' protokol diraja Sulu atau 'Tartib Di Raja Sulu').

__________________________________________________ ___________________

Fasa 4 (Pembolotan Giliran Takhta Bermula)

24. SULTAN ALIUDDIN

Adinda (adik) kepada Sultan Alimuddin @ Azimuddin-III
Sultan inilah yang merampas takhta yang sepatutnya jatuh kepada Raja Muda Datu Bantilan ibni Sultan Alimuddin @ Azimuddin-II (Keluarga Maharaja Adinda) pada 1808, ketika mana Raja Muda Datu Bantilan tidak berada di Jolo, Sulu(sebab mengelak dari wabak cacar) pada 1808 iaitu selepas kemangkatan Sultan Alimuddin @ Azimudin-III.

25. SULTAN SHAKIRAULLAH,

Adinda (adik) Sultan Aliuddin & Sultan Azimuddin @ Alimuddin-III.
Bermulanya keluarga SHAKIRAULLAH -
(LAMBANG BARONG).
Inilah sahaja satu-satunya sultan dari KELUARGA SHAKIRAULLAH

.
26. SULTAN JAMALUL-KIRAM-I,

Putera Sultan Alimuddin @ Azimuddin-III.
Bermulanya keluarga KIRAM - (KEKAL MENGGUNAKAN LAMBANG KERIS).

27. SULTAN MUHAMMAD FADL @ SULTAN PULALUN,

Putera kepada Jamalul-Kiram-I.

28. SULTAN MUHAMMAD ADANAN (ARANAN) PUYO.[8]

.
29. SULTAN JAMALUL A’ZAM @ A'LAM, (perjanjian Pajakan Sabah 1878)

Beliau menandatangani surat perjanjian "PAJAKAN SABAH 1878" dengan Baron Von Overbeck & Alfred Dent sebagai individu pemajak (penyewa).
Perjanjian "pajakan" yang bersejarah ini tidak mendapat persetujuan dari ke-rabat diraja Maharaja Adinda Aranan mahupun para datu-datu diraja yang lain keseluruhannya.[9]
Istilah "PAJAKAN" bermaksud pajak atau sewa, bukannya "PENYERAHAN" yang membawa maksud 'menyerahkan hak keseluruhannya tanpa ada tuntutan lagi di hari kemudian'. Istilah "penyerahan" itu sendiri tidaklah membawa maksud penyerahan secara mutlak tetapi sebenarnya adalah "Amanah", lihat Kamus Dewan (Edisi Keempat) m.s. 1463 tertulis "Penyerahan perbuatan menyerahkan (mempercayakan, mengamanahkan, dll): Contoh ayat "Kekalahan China diikuti oleh penyerahan Hong Kong kepada British". Walhal umum mengetahui kerajaan British akhirnya menyerahkan semula Hong Kong kepada China. Kerajaan Malaysia juga masih menganggap "PENYERAHAN" itu sebagai "PAJAKAN" ini kerana tanpa diketahui umum Kerajaan Malaysia masih tetap meneruskan bayaran pajakan Sabah itu kepada waris Kesultanan Sulu dari keluarga KIRAM hingga hari ini sebanyak RM 5000.[10]
Beliau menaiki takhta setelah mendapat bantuan dan sokongan kuat dari datuk saudaranya Maharaja Adinda Mohammad Aranan (Adanan) Puyo (menaiki takhta selama 7 hari sahaja sebelum menyerahkan takhta kepada Sultan Jamalul Azam @ A'lam dengan alasan sudah tua).


30. SULTAN BADARUDDIN-II

Beliau tiada anak lelaki cuma seorang puteri bernama Dayang-dayang Hajjah Piandao.
Jika mengikut sistem protokol Kesultanan Sulu, takhta sepatutnya diserah kepada KELUARGA MAHARAJA ADINDA kerana beliau tiada waris penyambung ketika mangkat pada 1884.

31. SULTAN HARUN AR-RASHID
.
32. SULTAN JAMALUL-KIRAM-II (Mangkat pada 1936)

Inilah Sultan Sulu yang terakhir diiktiraf oleh Dunia dan Kerajaan Filipina.
Beliau tiada zuriat sekalipun isterinya ramai.
Malangnya selepas kemangkatan Sultan Jamalul Kiram ini telah berlaku perebutan antara waris-waris keluarga Kiram akan siapa yang berhak keatas takhta Sulu (terutamanya berebut terhadap siapa yang berhak keatas wang "pajakan" Borneo Utara). Waris-waris yang menuntut kebanyakannya adalah wanita tetapi tidak mendapat sokongan dari "Rumah Bicara". Akhirnya telah mendapat reaksi dari Kerajaan Filipina (sebagai yang diamanahkan membangunkanSulu) dengan tidak mengiktiraf lagi sesiapa yang dilantik sultan mahupun sultanah (Pangyan) dari keluarga Kiram.

__________________________________________________ ______________________

Fasa 5 (Era kesultanan Tanpa Kedaulatan Bermula)

Kami berpandangan bahawa sejarah kesultanan di dunia yang paling ramai menyamar jadi sultan ialah KesultananSulu (sejak 1936 hingga sekarang). Selepas kemangkatan Sultan Jamalul Kiram-II itu awal-awal lagi anak angkatnya melantik diri sebagai waris Sultan Sulu, sejak itu ramai yang muncul melantik diri menjadi Sultan sekalipun tanpa nasab keturunan yang jelas. Mereka bertindak masuk keluar kampung orang-orang Sulu mengutip wang dengan menjual 'name card' kesultanannya. Malangnya masyarakat Sulu yang berada di Sabah yang selalu tertipu.

Natijahnya orang-orang Sulu sudah naik menyampah dengan keadaan seperti ini. Sekarang ada pula individu di Malaysia yang menubuhkan satu persatuan (berdaftar di Malaysia) Kebudayaan dan kesultanan Sulu yang mendakwa bahawa beliau adalah putera kepada Sultan Mahakuttah Kiram yang sah. Kami pernah berjumpa dengan 'beliau' dan pernah minum bersama, malangnya kami dapati beliau juga adalah "penyamar".


Walaubagaimana pun kami tidaklah mempertikaikan dakwaannya sebagai anak Sultan Mahakuttah yang bernama Muedzullail Kiram itu sebabnya sesiapa sahaja yang mendakwa waris sultan sulu dari keluarga KIRAM hari ini sekiranya punya "Fulus" yang banyak boleh sahaja melantik atau menggelar dirinya dengan gelaran apa pun yang dia mahu. Tetapi sekiranya kita melihat Salsilah yang mereka bawa tentang kesahihan nasab mereka dari KesultananSulu itu tanpa bukti-bukti berupa sokongan keluarga terdekat yang mengenali mereka tentu sahaja kita dapat mengenali samada mereka "Palsu", "Penyamar", "Pembohong Besar" atau sememangnya layak digelar Sultan Sulu.


33. SULTAN ESMAIL KIRAM I (1947-1973)

Adalah keluarga dari Kiram, lahir pada Februari 1907
Bekerja sebagai guru sekolah dan guru disiplin.
Menyertai tentera Perang Dunia ke-II dengan pangkat Major dan bertugas dengan tentera Amerika Syarikat di Timur Jauh.
Anak sulung Raja Muda Mawallil-Wasit melalui isteri pertama bernama Dayang Ennang
Salah seorang dari 9 waris kepada penerima hasil pajakan Borneo Utara (Sabah) melalui persetujuan Macasckie di Sandakan, Sabah pada 1939.
Dianggap layak menjadi Sultan Sulu sekalipun tidak dipandang oleh kerajaan Filipina (Di manakah kelayakan untuk menjadi Sultan Sulu sedangkan rela menjadi tentera kerahan Amerika Syarikat?).

34. SULTAN MAHAKUTTA A.KIRAM (1974-1986)

Dari keluarga Kiram juga
Lahir pada 1 Ogos 1941, meninggal 16 Feb 1986.
Kemudian menjadi timbalan Mayor yang seterusnya menjadi mayor di Maimbung.
Pemangku Governor di Sulu.
Anak yang paling tua Sultan Esmail Kiram I.
Berkahwin dengan isteri pertama Puteri Farida T. Kiram. Dikurniakan zuriat Dayang-dayang Xuharra, Raja Muda Datu Muedzul-Lail-Kiram, Dayang-dayang Dinwasa dan Datu Yldon.
Isteri kedua, Puteri Miriam Kiram dari Tarlac melahirkan 4 anak perempuan; Dayang-dayang Normahal, Dayang-dayang Aisah dan Dayang-dayang Tanya.

35. SULTAN MUHAMMAD FUAD ABDULLA KIRAM I (Sultan Sulu hari ini?)

Juga adalah Keluarga Kiram, lahir pada 24 Oktober 1954.
Anak keempat Sultan Esmail Kiram I melalui isteri Pangyan Haji Nanang Abdullah Kiram.
Adik kepada Sultan Mahakuttah A.Kiram.
Anak-anak: Putera Ezzarhaddon A. Kiram, Putera Al-Mezzheer A. Kiram, Fuad A. Kiram, Putera Mohammad Ismail A. Kiram, Puteri Leila Mae Kiram, Puteri Maryam Jaya Kiram
Kononnya ditabal menjadi Sultan pada 3 Jun 2006 oleh Datu Diraja dan Datu-datu serta Syarif-syarif di Sulu dan Sabah.
Beliau mendakwa turut disokong oleh MNLF Filipina sebagai Sultan Sulu dan Sabah.
Malangnya pusat pentadbiran beliau ialah di Tawi-tawi (Sepatutnya di Sulu), yang ada di Sulu cuma pejabat "Rumah Bicaranya".
Sila lihat laman rasmi Sultan Muhammad Fuad Kiram di http://www.royalsulu.com/.

*Perhatian: Sila perhatikan pada fasa 5 (Era Kesultanan Tanpa Kedaulatan Bermula) kerana terdapat kemusykilan yang boleh diperbahaskan secara lanjut.

SAMBUNGAN.....

Inilah senarai Sultan-sultan Sulu sehingga hari ini. Selepas Sultan Jamalul Kiram-II yang mangkat pada 1936 yang sememangnya tercatat dalam sejarah sebagai "tiada zuriat" tiba-tiba muncul Julaspi Kiram sebagai waris penyambung Sultan Jamalul Kiram-II karana Julaspi mendakwa adalah anak sultan terakhir. Tidak lama kemudian anak Julaspi Kiram iaitu Rodinood kiram pula tiba-tiba muncul dengan menabalkan dirinya sebagai Sultan Sulu di Manila. Walaubagaimana pun setelah diteliti oleh para datu yang mahir dengan sejarah dan Salsilah Sulu, didapati Julaspi Kiram ayah kepada Roodinood Kiram itu sebenarnya adalah anak angkat Sultan Jamalul Kiram II. Didapati juga segala sultan-sultan yang muncul selepas Sultan yang ke-32 iaitu Sultan Jamalul Kiram-II tidak layak lagi menjadi atau mengangkat diri mereka sebagai Sultan Sulu. Kerana Keluarga Kiram telah pun kehilangan hak sejak awal-awal lagi dengan melanggar protokol Diraja Sulu (Tartib Diraja Sulu) iaitu penggiliran takhta antara "Keris dan Tombak" seperti yang tertera dalam bendera Sulu yang memang wujud sejak kurun ke-17 itu.


Walaupun mereka masih diberi peluang oleh Allah s.w.t menjadi Sultan tetapi sekali lagi mereka (keluarga Kiram) melakukan kesilapan besar sebagai pemegang amanah kesultanan Sulu dengan memajakkan wilayah-wilayahnya (bukanlah miliknya secara peribadi melainkan adalah milik rakyat) tanpa mendapat persetujuan dari "Rumah Bicara" atau dari kerabat diraja Sulu yang lain. Sebenarnya kalau diimbau kembali sejarah mengapa wujud bendera kesultanan Sulu yang punya lambang Keris dan Tombak itu adalah kerana hasil pertengkaran adik beradik yang hampir berbunuhan disebabkan adik yang seorang itu tidak bersetuju dengan tindakan abangnya (Sultan) yang tunduk kepada kemahuan Spanyol. Apabila si abang (sultan) pergi juga ke Manila untuk di baptiskan di gereja untuk menganut kristian adik mengambil alih kuasa dan enggan tunduk kepada kemahuan Spanyol untuk masuk ke Sulu. Dan inilah sejarah bendera Sulu itu sebenarnya.


Kiram seolah-olah sudah terlalu lemah dan tiada upaya. Munculnya penyamar Sultan seperti Julaspi dan anaknya Roodinood Kiram itu pun tidak dapat mereka halang. Akhirnya yang menghalang ialah Filipina sendiri dengan mengurangkan seminimum mungkin kuasa-kuasa Sultan kemudiannya. Bagaimana Filipina mengiktiraf waris-waris Sultan Jamalul Kiram-II sebagai pengganti sultan sedangkan "Rumah Bicara" di Sulu sendiri enggan mengiktirafnya, disebabkan waris Sultan Sulu tersebut (yang mahu merebut takhta) majoritinya adalah wanita.[11]


Sebab itu kita melihat para keluarga Kiram yang menjadi Sultan bukan sahaja telah menjadi tentera (barua?) Amerika Syarikat yang sememangnya adalah musuh rakyatnya sendiri malah ada pula (Sultan Sulu) yang menjadi mayor dan gabenor di Sulu di bawah kerajaan Filipina yang tidak selayaknya di sandang oleh seorang Sultan Sulu yang merdeka dan ini sangat memalukan kerabat-kerabat diraja Sulu dan rakyat Sulu keseluruhannya.


Kini sejarah berulang, Pewaris Pertama Kesultanan Sulu (Kiram) buat silap lagi (lagi dan lagi) dan Pewaris Kedua Kesultanan Sulu (Aranan) pula datang membetulkan keadaan. Kali ini kita akan melihat Kiram kemungkinan besarnya akan kehilangan hak mereka ke atas takhta Sulu buat selama-lamanya kerana kesilapan demi kesilapan yang mereka lakukan tidak diperbetulkan malah salsilah nasab keturunan yang ada pada mereka sendiri penuh dengan kesilapan dari segi fakta. Tidak berusaha mengkaji dan menyelamat umat Islam Sulu. Apa yang dalam kepala mereka setelah menjadi Sultan (tidak berdaulat itu) ialah "menuntut Sabah...menuntut Sabah...menuntut Sabah" sahaja. Ke sana ke mari membawa surat tuntutan yang kononnya mahu menuntut Sabah semula sebab Sabah itu mereka (Sultan Sulu) yang punya. Walhal negara asal kesultanan Sulu sendiri masih tidak tertuntut (Sulu). Patutnya mereka berusaha mengumpul tenaga rakyat jelata bersatu mengeluarkan wilayah Sulu itu (yang punya pusat sejarah kesultanan) dari kekuasaan Filipina dengan membuat pelbagai memorendum dan sebagainya bukannya menuntut Sabah.


Apa yang mereka tahu tentang sejarah "Pajakan Sabah"? Apa yang mereka tahu tentang nilai kesejahteraan terhadap rakyat mereka yang berlindung di Sabah? Sebenarnya yang mereka tahu ialah wang ringgit yakni fulus semata tanpa mengambil berat keadaan rakyat Sulu yang miskin dan melarat itu. Akhirnya setelah dapat duit pajakan tahunan RM5000 dari kedutaan Malaysia, mereka akan terus diam seperti tunggul kayu ditengah angin ribut!! Rakyatnya diSulu dihujani bom (oleh tentera Filipina) pun masih tidak tahu apa-apa?


Maka kami menyeru kepada kesemua kerabat Kesultanan Sulu di mana jua mereka berada (termasuk yang menggelar diri mereka Sultan Sulu) agar kembali kepada Allah dan Rasul-Nya. Martabatkan kalimah "Laa Ilaha Illallah" wa "Muhammad Rasulullah s.a.w" kembali sebagai matlamat kalian kerana nenek moyang kalian bermula dari Sultan Shariful Hashim hingga dari keturunan Syarif Ali Barakat telah berjaya mengangkat Kalimah suci itu ke pelusuk Borneo (sebab mereka ini adalah ulamak besar) dan Kepulauan Sulu hinggakan Allah swt menganugerahkan mereka kekuasaan (jadi Sultan) walhal bukanlah kehendak mereka. Apa yang berlaku hari ini sebaliknya. Kerabat diraja Suluberebut-rebut mahu dilantik menjadi Sultan kerana tujuan kekayaan pribadi dan dunia semata (hari ini di Sulu sahaja ada lebih dari 4 orang menabal diri jadi Sultan), tidak menuntut ilmu agama sebagai perisai Ahlul Bait mereka sesungguhnya mereka lupa kepada Allah dan Rasul-Nya lantaran Allah pun membiarkan mereka. Mereka tidak mengenali Syariat Allah s.w.t lagi seperti yang di bawa oleh nenek moyang mereka Sayidina Rasulullah s.a.w sebab itu rakyat Sulu keseluruhannya pun tidak mengenali mereka lagi (para sultan Sulu hari ini).

No comments:

Post a Comment