banner

Thursday, November 13, 2014

Honda sahkan seorang wanita Malaysia maut akibat letupan beg udara


Honda mengesahkan seorang wanita Malaysia terbunuh apabila beg udara meletup, menjadikan keseluruhan kes kematian membabitkan beg udara yang dikeluarkan oleh firma Jepun Takata meningkat kepada lima.

Empat kes yang lain berlaku di Amerika Syarikat.

Honda berkata, wanita berkenaan meninggal dunia pada Julai lepas selepas beg udara pecah secara tidak normal, menurut jurucakap Honda yang berpangkalan di Tokyo.

Berita itu disahkan selepas Honda membuat panggilan tambahan kepada lebih 170,000 kenderaannnya di seluruh dunia ekoran risiko letupan yang menyebabkan logam daripada inflator beg udara terkena kepada pemandu.

Takata kini berhadapan dengan ujian paling berat dalam tempoh 80 tahun penubuhannya dengan tindakan undang-undang, siasatan jenayah dan dakwaan penipuan dan pengeliruan.

Berjuta-juta kenderaan yang dikeluarkan oleh syarikat gergasi automotif termasuk Honda, Toyota dan General Motors telah dipanggil semula berikutan masalah ini.

Honda telah dinamakan dalam tuntutan mahkamah Amerika Syarikat sebagai defendan, yang mendakwa telah berpakat dengan Takata untuk menyembunyikan kecacatan beg udara yang dikeluarkan bertahun-tahun.

The New York Times telah memetik bekas pekerja Takata sebagai berkata, ujian rahsia telah diadakan satu dekad yang lalu untuk menyiasat kecacatan yang wujud, tetapi eksekutif mengarahkan pemusnahan data yang mendedahkan kelemahan dalam reka bentuk.

"Sekurang-kurangnya tiga daripada lima kematian disebabkan letupan luar biasa disebabkan beg udara itu, termasuk kes terbaru di Malaysia.

"Dua kes lagi belum disahkan puncanya, sama ada disebabkan letupan beg udara atau faktor-faktor lain," tambah jurucakap Honda.

Saham Takata telah kehilangan kira-kira separuh daripada nilainya sejak siasatan telah dibuka pada bulan Jun.

Perhatian telah diberi kepada kilang Takata di Mexico, yang disyaki mengalami kecacatan yang boleh dikaitkan dengan bahan kimia yang mengakibatkan beg udara mudah mengelembung dan pecah di kawasan yang mempunyai kelembapan tinggi.

Ditubuhkan pada tahun 1933 sebagai sebuah syarikat tekstil, Takata terlibar dalam alat ganti automotif dengan penjualan beg udara pada tahun 1980 dan kini memiliki kilang dan pejabat di 20 buah negara termasuk Amerika Syarikat, China dan Mexico.

Bahagian beg udara menyumbang kira-kira 40 peratus daripada pendapatan iaity AS$4.88 bilion pada tahun lepas.

Takata dijangka mengalami kerugian besar daripada yang dijangkakan tetapi pihak pengurusannya masih tutup mulut berhubung krisis ini.

No comments:

Post a Comment