KUALA
LUMPUR 20 Feb. - Simpanan air di kesemua empangan di seluruh negara
diunjurkan hanya mampu membekalkan air antara satu hingga tiga bulan
sekiranya cuaca panas dan kering berpanjangan.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran
berkata, keupayaan untuk menampung permintaan air bergantung kepada
situasi kemarau di setiap negeri dan saiz serta struktur empangan.
Menurut
beliau, kawasan bandar yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi
lazimnya akan mengalami gangguan bekalan air lebih awal berbanding
lokasi lain.
"Situasi
itu berlaku berikutan permintaan yang tinggi terhadap bekalan air di
kawasan bandar yang kebiasaannya terletak jauh daripada kawasan bekalan
air.
"Sebagai
perbandingan, empangan di Malaysia pada 30 tahun lalu berupaya menakung
air untuk tempoh yang lebih panjang semasa musim kemarau kerana
pembangunan di kawasan bandar masih kurang pesat," katanya di sini hari
ini.
Piarapakaran
mengulas tentang kemungkinan negara dilanda krisis bekalan air
sekiranya paras air empangan terus menyusut akibat cuaca panas dan
kering di seluruh negara.
Laman
web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan, setakat pukul 8
malam tadi, sebanyak 15 empangan yang dipantau menerusi sistem Info
Kemarau mencatatkan simpanan air di bawah paras normal.
Namun, simpanan air di Empangan Chereh, Kuantan, Pahang adalah pada paras 72.97 melebihi paras normal 65 meter.
Beliau menambah, sebagai langkah jangka pendek, syarikat bekalan air hendaklah mengoptimumkan bekalan air terawat.
"Bagi
langkah jangka panjang pula, empangan baharu yang bakal dibina mesti
berupaya menakung air pada kadar 50 peratus melebihi permintaan semasa,"
ujarnya.
Piarapakaran
turut menyarankan langkah lain seperti mengurangkan kadar air tidak
terhasil, mempertingkatkan sistem bekalan air secara kolektif dan
larangan kegiatan pembalakan di kawasan tadahan hujan.
Sementara
itu, Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri
Mahdzir Khalid memberitahu, masalah bekalan air di seluruh negara masih
belum kritikal.
Walau
bagaimanapun, jelas beliau, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)
dan syarikat bekalan air telah diarahkan membuat pelan tindakan
sekiranya paras simpanan air empangan turun di bawah 45 peratus.
"Catuan bekalan air terpaksa dilakukan apabila simpanan air di empangan kurang daripada 45 peratus," katanya.
Mahdzir
juga berharap orang ramai menjimatkan penggunaan air dan membuat
persediaan bagi menghadapi kemungkinan gangguan bekalan air berlaku.
|