banner

Wednesday, December 26, 2012

Misteri Bukit Berapit


Bukit Berapit


Pada satu malam yang hening dan dingin, lebih-kurang 15 jam dan 29 tahun dulu, Pakcik Samad dan Makcik Salamah dalam perjalanan daripada Ipoh ke Taiping. Masa tu, highway PLUS masih dalam pembinaan, jadi perjalanan tu kena melalui Sg. Siput, naik ke Kuala Kangsar dan terus ke Taiping. Korang tahu Bukit Berapit kat mana? Ingat bas yang crash kat Bukit Gantang, Taiping yang membunuh 20 orang, yang driver nya ada rekod buruk tu? Itu dekat Bukit Berapit la tu. Lepas Kuala Kangsar, naik ke Utara ke Pekan Padang Rengas, dan terus arah ke Taiping - lepas kilang simen yang besar tu, naik bukit sket - itulah kawasan Bukit Berapit. Jalan KK-Taiping tu selari dengan PLUS highway. Ikut jalan lama, bak kata orang sekarang.

Pakcik Samad Polis pencen. Dia pencen awal, ada duit simpanan sikit, beli rumah kat Taiping. Rumah asalnya kat Ipoh - tempat dia bekerja sebelum dia pencen. Baru beli rumah, jadi masih perlu berulang-alik ke Taiping untuk settle kan beberapa perkara. Besa la, tengah pindah rumah. Malam tu dia dan Makcik Salamah bertolak dari Ipoh lambat, lepas midnight, sebab melayan tetamu yang datang ke rumah. Kawan lama dari Tg. Rambutan datang bertanya khabar dan kiranya nak say goodbye, kawan dah nak berpindah jauh. Sure, dulu-dulu aku rasa Taiping dan Ipoh tu jauh, masa tu takde highway. Kampong aku kat Pokok Sena, dan perjalanan ke Alor Setar tu tu pun aku masih rasa jauh. Sampai sekarang perasaan "jauh" tu aku masih rasai. Korang bebudak sekarang mana ada "feeling" tu. Bapak aku tak pernah ada kereta. Kalau kami nak jalan-jalan, kami sekeluarga kena naik bas stop-stop. Itu sebab aku rasa jauh.

Lepas bandar Kuala Kangsar, jam dah dekat 2 pagi. Tak banyak kereta di jalanan, dan cuaca sejuk, mendung macam hari nak hujan, tapi takde pulak nampak petir atau terdengar guruh. Selepas selekoh hospital Kuala, belok kanan, Pakcik Samad terus menghalakan keretanya ke arah Taiping. Selepas kilang simen yang aku cakap tadi tu, jalan terus jadi sunyi, kengkadang ada sebijik-dua lori berat yang jalan perlahan, dan dia kena la potong. Berhampiran kawasan berbukit, bila sampai kawasan Bukit Berapit, tiba-tiba kereta Pakcik Samad macam tersenguk-sengguk. Takde berasap, atau apa-apa ke... cuma macam habis minyak gitu. Tapi, Pak Samad confident dia ada cukup minyak. Baru isi minyak siang sebelum tu.

Dia pun perlahan-lahan drive keretanya ke bahu jalan, dan terus berhenti. Enjin kereta tu terus mati dan Pakcik Samad terus tarik hand-break, sebab jalan tu kawasan lereng bukit, kereta tu akan menggelongsor turun kalau tak parking betul-betul. Dia dan Makcik Salamah saling berpandangan, dan makcik tu bertanya, "apa hal bang?". "Entah lah, abang pun tak tahu. Minyak cukup, tapi apekehenye kereta ni buat hal?", kata Pakcik Samad. 

Tiada satu kereta pun ada di jalan raya waktu tu, jam dah dekat 3 pagi. Pakcik Samad teragak-agak nak keluar kereta tengok enjin, sebab dia tahu, dia memang tak pernah pandai apa-apa hal pasal kereta. Nak isi minyak hitam pun dia selalunya hantar woksyop aje. Dia sembang kosong beberapa minit dengan Makcik Salamah, mengharapkan kalau ada kereta atau lori lalu, tapi dekat setengah jam, apa pun tarak. Akhirnya, dia cakap kat Makcik Salamah, "baik abang pegi ke pekan Padang Rengas. Tak apalah, abang jalan kaki aje. Salamah tunggu aje dalam kereta, nanti kereta kita dilarikan orang pulak, kalau kita dua-dua sama pegi sana". Makcik Slamah terus kecut perut nak ditinggalkan sengsorang, tapi pakcik Samad berjaya memujuknya, dan seterusnya dia pun memulakan perjalanan menapak patah balik arah ke belakang. Nak cari kalau ada orang boleh bantu. Dia rasa dia ada kenal seorang pegawai polis kat balai Pdg. Rengas.

Makcik Salamah periksa balik yang kempat-empat pintu kereta tu berkunci, dan dia cuba untuk melelapkan mata. Dalam hati, makcik tu sememangnya takut duduk sorang-sorang dalam kereta, kat tepi bahu jalan, kat atas bukit pulak tu. Dia cuba baca ayat-ayat Quran dan selawat, kasi hatinya tenang. Tengok keluar sekeliling kereta tak nampak apa-apa, gelap-gelita. Lebih-kurang dalam setengah jam, kesepian dan kesunyian disekelilingnya tiba-tiba terganggu dengan bunyi yang mengejutkannya. Tengah dia mengelamun, separuh sedar separuh tidor, tiba-tiba...

Duummm!

Ada benda jatuh atas bumbung kereta tu dengan hentaman yang kuat. Dalam tersentak tu, Makcik Salamah dengan jantung yang berdebar-debar, terkejut sungguh dengan dentuman tu, cuba menarik nafas perlahan-lahan... dan selang beberapa minit kemudian, dia macam terdengar macam ada makhluk lain yang melompat dan landing atas bumbung kereta tu. Dia mendengar ada macam bunyi benda tersiat macam orang mencarik kain, di atas bumbung kereta. Dan lepas tu, ada bunyi mendengus macam binatang liar. Ada bunyi macam anjing tengah makan dengan lahap, cuma bunyi itu lebih kuat dan lebih liar daripada seekor anjing, seakan bunyi binatang yang lebih ganas, lebih hebat lagi daripada seekor anjing. Yang dia teringat macam bunyi singa tengah makan dan mengoyak-ngoyak badan rusa. Macam cerita rencana pasal alam semulajadi kat TV hitam-putih masa dulu-dulu. Gggrrreeeuuughhh!!!! Arrrghhhheeuughhggrrrhhh!!! Bunyi semacam seekor binatang liar yang lapar yang tengah mencarik-carik daging binatang yang berjaya diburunya. Dalam kegelapan itu, Makcik Salamah hanya dapat mendengar, tetapi tidak dapat melihat langsung apa yang berlaku.

Perkara ni berlaku dalam 10 hingga 15 minit, tapi yang Makcik Salamah hairan, kenapa dia di dalam kereta tidak diganggu sedikit pun. Dalam ketakutannya itu, dia mempelosokkan dirinya ke bawah daripada kerusi penumpang tempat duduknya, kerana terlalu takut. Merengkok dia kat bawah tu menggigil, terasa nak terkencing-kencing. Tiba-tiba dia terdengar macam binatang tu berhenti dari makan, dan seterusnya melompat turun, dan terus bergerak menjauhi kereta. Tak lama kemudian, keadaan sekeliling kembali sunyi, dan tiada bunyi apa-apa pun kedengaran. Makcik Salamah yang ketakutan, kembali dapat bernafas lega, dan cuba untuk melihat keluar kereta, tetapi dengan kegelapan tanpa apa-apa lampu, tiada apa yang dapat dilihat.

Selang 5 minit kemudian, Makcik Salamah tiba-tiba nampak cahaya lampu kereta datang menghampirinya dari jauh, memanjat bukit dari bawah, ke arah di mana kereta itu berhenti. Semakin hampir, dia melihat lampu itu bertambah terang dan besar, dan apabila lalu di sebelah kereta, baru dia menyedari bahawa ianya lampu daripada sebuah lori. Lori membawa tentera. Di Taiping memang ada beberapa kem tentera dan renjer, kalau tak silap. Hendak dia keluar dari kereta untuk menahan lori itu, tetapi belum sempat dia berbuat apa-apa, lori itu sendiri berhenti secara mendadak, seperti pemandunya menekan emergency-break. Berhenti betul-betul di tengah jalanraya, dan beberapa orang lelaki melompat turun, masing-masing beruniform askar. 

"Assalamualaikum... elo, elo... ada sesiapa di dalam?", kata salah seorang tentera tersebut, sambil menghalakan lampu suluh ke arah kereta Makcik Salamah. Makcik Salamah cepat-cepat menjawab ada, dia ada di dalam katanya, dan terus dia bergegas mahu keluar. "Makcik... jangan bergerak. Tunggu sebentar", balas lelaki tersebut. "Kami ada di sini, makcik jangan takut. Mintak tolong makcik keluar dari kereta perlahan-lahan, lepas tu bergerak ke depan ke arah kami. Mintak tolong makcik jangan tengok belakang". Itu arahan tentera tersebut.

Makcik Salamah yang masih dalam ketakutan, sekarang berasa bertambah lega sedikit, dan dia pun membuka pintu keretanya, dan dalam samar-samar lampu belakang lori yang merah, terus bergerak ke arah ke hadapan, menghala di mana tentera-tentera tersebut berdiri. Apabila dia menapak dalam beberapa langkah ke hadapan, dia perasan ada lampu kereta yang terang datang dari belakang dengan laju, sama arah dengan lori tadi. Dia pun terfikir, nanti lori tentera tu kena langgar kereta tu la pulak. Dia pun menoleh ke arah kereta yang datang, dan dengan cahaya lampu kereta itu, dia ternampak satu lembaga di atas keretanya sendiri, terbaring dengan perut terburai - usus perut bersepah, dengan darah segar hitam yang mengalir dan berlopak di seluruh bumbung dan cermin kereta, dengan tangan dan kaki seorang manusia yang herut-merut terbongkang luas, dalam keadaan yang sangat mengerikan. Sebentar kemudian, Makcik Salamah menjerit sekuat hati, terus jatuh terduduk.... meraung mendayu.

Aaaaaaaaaaaaahhhhhh!!!

Kat atas bumbung kereta tu, Pakcik Samad terlentang, terburai kaku.

No comments:

Post a Comment