banner

Thursday, December 6, 2012

Anak Kecil Main Api ? PooooooDaaaaahhhh !!!

Bukan main hiba wakil Kelab Umno Luar Negara sewaktu Perhimpunan Agung Umno tempohari sewaktu menyanyikan lagu "Anak Kecil Main Api".

Bercucuranlah air mata perwakilan kononnya jika Umno tewas dalam Pilihanraya Umum ke 13 nanti maka, hilanglah Melayu, merempatlah Melayu di bumi bertuah ini.

"Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang"
Inilah dia silap mata dan silat lidah terhebat abad ini. Terus menerus berlagak angkuh seolah bangsa Melayu ini dungu semuanya. Saya dengan sukacitanya memperingatkan kepada graduan Luar Negara tersebut dan seluruh anak muda Malaysia mengenai beberapa jasa teragung Umno sepanjang memerintah Tanahair ini.

1. Tahun 1957, sewaktu British memberikan kemerdekaan, mereka telah meninggalkan 3 billion hektar Tanah Rezab Melayu. Tahun 1995, di bawah kepimpinan Umno yang memperjuangkan bangsa Melayu, Tanah Rezab Melayu menyusut sehingga tinggal lebih kurang 1.7 juts hektar sahaja. Hidup Melayu!!!

2. Tahun 1993 menyaksikan maruah Raja-Raja Melayu direntap Pemerintah dibawah kepimpinan Umno apabila Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi membolehkan Raja-Raja dibawa ke mahkamah. Banyak lagi jasa Umno dalam melondehkan maruah dan kredibiliti institusi kesultanan Melayu. Daulat Tuanku!!!

3. Dasar Ekonomi Baru, sebuah dasar yang baik untuk memacu perkembangan ekonomi Melayu dipergunakan oleh Umno bagi melahirkan beberapa kerat konglomerat Umno putera yang rapat dengan koridor kuasa sahaja. Di mana taraf ekonomi Melayu ketika ini? Siapa yang mengkhianati Melayu disebalik Dasar Ekonomi Baru? Realitinya, objektif DEB tersasar jauh. Demi Ketuanan Melayu!!!

4. Berapa ramai anak muda Malaysia tiada peluang pekerjaan ketika ini dibawah pemerintahan hebat Najib Razak dan Umno? Ramai pula yang sekadar bersandar kepada jawatan kontrak yang boleh dipecat pada bila-bila masa. Termasuk juga dalam pelbagai agensi kerajaan, ramai anak muda ditawarkan jawatan kontrak sahaja. Mengapa Umno sebagai pemerintah pilihan Tuhan dan mendahulukan rakyat tidak melaksanakan satu pelan jangka panjang bagi mengatasi masalah ini termasuklah menetap tempoh masa maksimum pergantungan tenaga kerja asing untuk sesuatu industri itu? Syabas PM!!!

5. Di kotaraya, tahap kemiskinan kota terus memuncak walau cuba dinafi oleh statistik pemerintah. Ramai rakyat yang tidak mampu membeli rumah tetapi ada pemimpin-pemimpin Umno mampu beli hartanah di United Kingdom atau negara luar. Anak muda yang baru membina keluarga dan tinggal di kotaraya terpaksa menghuni rumah pangsa yang tinggi dan sesak. Hidup Umno!!!

6. Rakyat terus bergelut mengatasi masalah kenaikan harga barang keperluan. Keluar pagi, balik lewat malam mencari rezeki untuk keluarga. Institusi keluarga menjadi longgar ekoran dari ibu bapa yang terpaksa bekerja keras terutama di kotaraya. Impaknya, membiak keruntuhan moral di kalangan muda mudi negara. Nama Rihanna mengalir deras di mulut anak muda berbanding Nabi Muhammad S.A.W. Muda mudi lebih mengingati lirik lagu Justin Bieber dari lagu Negaraku. Gemilang Umno!!!

7. Umno terus bersedia untuk menyedut kantung rakyat melalui pengenalan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST). Rang undang-undang GST tidak pernah ditarik balik tetapi menunggu untuk dibentangkan dan diluluskan sebaik PRU 13 selesai. Segala gula-gula Bajet 2013 akan direnggut dari nurani rakyat. Syukur Umno!!!

8. Umno telah mengheret kadar hutang negara melepasi 50% dari kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Warisan pentadbiran Najib Razak buat pewaris masa depan Negara nanti. Terima kasih PM dan Umno!!!

9. Umno telah mengheret kredibiliti dan integriti pelbagai agensi perlaksanaan Kerajaan merudum teruk dengan pelbagai skandal korupsi yang melingkari setiap agensi Kerajaan. Duit kopi bukanlah satu fenomena asing. Satu lagi kejayaan Umno!!!

10. Apakah yang Umno telah lakukan dalam pengisian dan penghayatan maksud sebenar Islam dalam kehidupan setiap warga Muslim? Umno terus mendiamkan diri tatkala MCA terus menerus memfitnah Islam. Tidak kedengaran langsung suara-suara lantang dalam Perhimpunan Agung Umno menegur MCA yang sudah tidak menghormati Muslim. Apakah ini kepimpinan yang kita ingin letakkan impian dan harapan untuk terus memayungi Islam dan Melayu? Syabas Umno!!!

Ini baru sedikit daripada jutaan jasa Umno dalam memundurkan pemikiran dan kehidupan Melayu. Pemikiran Melayu terus dicabar dengan idea-idea sempit yang sekadar membuncitkan perut sekelompok pemimpin Umno baik di peringkat nasional mahupun di peringkat kampung-kampung. Melayu terus diciptakan wajahnya oleh Umno sebagai sebuah bangsa yang memerlukan tongkat subsidi. Hilang jatidiri sebagai bangsa bermaruah hingga terpaksa melukut di tangga Pejabat Kebajikan Masyarakat dan program BERSAMAMU.

Sudah sampai masanya, bangsa Melayu harus bangkit. Menolak hegemoni Umno yang tidak pernah memerdekakakan minda. Umno wajar direhatkan dari terus memegang tampuk pemerintahan negara sekiranya bangsa Melayu ingin mendapatkan kembali kegemilangan maruah Melayu sepertimana zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Cukuplah segala bentuk pengkhianatan, korupsi, salahguna kuasa dan rompakan kekayaan negara yang telah dilakukan Umno dengan bersembunyi di sebalik slogan Hidup Melayu. Umno yang ada hari ini telah jauh tersasar dari Umno tahun 1946.  Umno yang ada hari ni adalah Umno "lintah darat" yang menghisap kantung rakyat di waktu siang dan malam. Bangkitlah Melayu.

Siapa sebenarnya yang menyebabkan Melayu terhina di bumi bertuah ini? Jawapannya adalah Umno yang bertanggungjawab mengheret Melayu menjadi begitu lemah ketika ini. TERIMA KASIH Umno. Jasamu memang banyak dan tidak terbalas. Kerana itu, kami tidak akan mengundi kamu lagi.

No comments:

Post a Comment