Seorang jutawan, Mahathir yang kini tua pulang ke kampung untuk mengenangkan nostalgia zaman mudanya.
Mahathir balik menjenguk kampungnya di tepi laut dengan kereta mewah yang tidak mungkin dibeli oleh sesiapa di kampungnya.
Beliau singgah di sebuah gerai tepi laut kepunyaan Ustaz Nik Aziz yang juga nelayan yang terkenal dengan sifat riang dan tenangnya di kampungnya.
“Apa khabar ustaz? Lama tak jumpa,” kata Mahathir.
“Anta dah balik… baguslah, ingat dah lupo kampung ini,” kata Ustaz Nik Aziz.
“Ya, dah balik… akhirnya,” kata Mahathir dengan nada sedih.
“Mengapa? Ada masalah ke?” tanya Ustaz Nik Aziz.
“Bagaimana ustaz dah tua ini pun masih riang dan tenang seperti dulu? Ustaz dah capai semua yang ingin dihasratkan? Umur kita doh tak panjang dah…” kata Mahathir.
“Anta ada apa lagi yang tak selesai? Kereta, rumah, bini, anak semua dah ada, apa yang anta keluh lagi?” tanya Ustaz Nik Aziz.
“Banyak perkara. Ada dendam sikit, ada marah sikit sana sini, bimbang pasal perniagaan, bimbang siapa ganti ana… macam-macam… Ana tak macam ustaz… tak ada cita-cita, ana cita-cita besar,” kata Mahathir.
“Cita-cita ana ada juga. Tapi taklah mengacau sampai tak tenang dan tak senyum macam enta,” kata Ustaz Nik Aziz.
“Yalah. Itu yang ana tak dapat belajar daripada enta. Senyum dan tenang sentiasa. Ana sikit-sikit marah, kena fikir itu ini… apa petua ustaz ya?” tanya Mahathir.
“Betul nak tahu? Tak susah petua ana…,” kata Ustaz Nik Aziz.
“Anta nak cerita, ana sudi dengar…” kata Mahathir.
Ustaz Nik Aziz membawa Mahathir berjalan di tepi pantai.
“Ajal kita tak tahu bila tapi kita kena sentiasa bersedia dengan kunjungannya. Anta cuba bayang besok anta akan meninggalkan dunia ini…
Tiada lagi matahari terbenam, terbit, tiada lagi masa. Hari ini sajalah yang anta ada.
Segala yang anta kumpul, kereta cantik anta semuanya akan menjadi milik orang lain besok.
Kekayaan, kuasa dan populariti anta pun akan hilang dan tidak lagi relevan di dunia ini.
Bagaimana pula dengan dendam, kemarahan, tergusir hati dan cemburu? Semuanya akan melesap besok juga.
Demikian juga dengan harapan, cita-cita, rancangan anta semuanya akan luput.
Perkara yang anta pentingkan selama ini, menang dan kalah juga tidak lagi bermakna.
Jika ajal tiba, ia tidak kisah di mana anta berada, siapa anta atau betapa cantiknya rumah anta. Jantina dan warna kulit anta pun tak dikisahkan,” kata Ustaz Nik Aziz…
“Jadi ustaz, apa yang dikisahkan? Apa yang penting jika ana mati besok?” tanya Mahathir yang khusyuk mendengar.
“Apa yang bermakna – bukan pada apa yang anta beli, tapi apa yang anta bina, bukan apa yang anta ada, tapi apa yang anta beri.
Yang bermakna bukan kejayaan anta tapi makna perkara yang anta buat selamat ini.
Yang bermakna bukan apa yang anta belajar tapi apa yang anta mengajar.
Yang bermakna ialah setiap tindak-tanduk yang penuh berintegriti, bersemangat, berani dan pengorbanan anta yang menjadi sumber inspirasi pada orang lain untuk dijadikan contoh.
Yang bermakna bukan kehebatan anta, tapi watak anta.
Yang bermakna bukan berapa orang yang kenal anta, tapi berapa yang akan rasa kehilangan anta selepas anta tiada.
Yang bermakna bukan ingatan anta, tapi memori yang berada pada mereka yang menyayangi anta.
Yang bermakna ialah berapa lama ana akan diingatkan, oleh siapa dan untuk apa.
Kehidupan yang bermakna bukan berlaku secara spontan. Ia adalah satu pilihan. Hargai masa, pilihlah kehidupan yang bermakna untuk anta,” kata Ustaz Nik Aziz.
Mahathir terdiam… termenung jauh setelah mendengar kata-kata Ustaz Nik Aziz.
“Anta ok?” tanya Ustaz Nik Aziz sambil menepuk belakang Mahathir.
Mahathir terus memeluk Ustaz Nik Aziz.
“Terima kasih. Setelah segalanya, dan kata-kata ustaz, ana rasa kampung dan kehidupan di kampung yang sederhana ini adalah terbaik untuk hidup ana.”
Dapat cerita tersiratnya?
Ingat ya… Jika tak mampu jadi penulis yang memberi manfaat, jadilah pembaca yang memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain.
No comments:
Post a Comment